Hujan lebat berserta angin kencang dijangka berlaku di Pantai Timur dan Johor hingga Isnin ini.

Kawasan yang dijangka terbabit ialah Kota Bharu, Pasir Puteh, Machang, Bachok, Pasir Mas, Tumpat dan Tanah Merah di Kelantan, Kuantan, Rompin dan Pekan di Pahang.

Laporan Jabatan Meteorologi (Met Malaysia) dalam laman webnya turut menjangkakan angin kencang di Terengganu dan Mersing, Johor.

Dijangkakan angin kencang timur laut dengan kelajuan 40-50 kilometer sejam dengan ketinggian ombak sehingga 3.5 meter berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur.

Sementara itu, di Kelantan, Terengganu, Pahang dan timur Johor turut terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut yang dijangka sehingga Rabu ini.

Ribut petir di perairan Perak dan Sarawak dijangka berterusan sehingga pagi ini.