Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Melaysia) akan menukar cara penyampaian berlaku fenomena di negara ini daripada warna kepada amaran bertulis.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Madius Tangau berkata, ia sekali gus memudahkan kefahaman umum selain usaha penambahbaikan penyampaian kemungkinan bencana termasuk banjir.

Jelasnya, cara itu juga dilihat memudahkan penerimaan orang ramai termasuk mereka yang berada di luar bandar.

"Langkah utama mengubah kategori amaran supaya amaran yang dibuat sekarang ini. Selama ini kita menggunakan warna kuning, jingga dan merah dan ia kurang difahami umum.

"MET akan menggunakan amaran warna ini dan akan menukar kepada amaran bertulis, kuning ini akan bermaksud waspada, jingga maksudnya buruk dan jika bahaya pula merah," katanya semasa menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen (BN-Parit Sulong) Datuk Noraini Ahmad ketika sesi soal jawab menteri pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Noraini bertanya apakah langkah persediaan yang telah dilakukan oleh pihak Kementerian dalam mengawasi fenomena selain daripada menyampaikan isyarat awal kepada seluruh rakyat di negara ini.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta MET menyebarkan maklumat secara menyeluruh berkaitan perubahan cuaca supaya persediaan pemindahan segera boleh dilakukan.

Ahmad Zahid bimbang kesiapsiagaan tidak dapat dilakukan sekiranya ramalan yang dibuat jabatan kaji cuaca tidak dihebahkan secara menyeluruh dan segera.

MET juga sudah membuat perbincangan bersama beberapa agensi media untuk memasikan sebarang amaran cuaca dapat disampaikan kepada orang ramai dalam kadar segera, kata Madius.

Ujarnya, mereka juga akan meningkatkan sistem pelayan di laman web untuk memastikan lebih ramai pengunjung dapat mengakses maklumat pada satu masa yang sama.