Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan kemudahan kepada warga kota untuk bersama-sama menyertai saat bertafakur sempena ketibaan jenazah mangsa tragedi MH17 esok.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjelaskan, ini termasuk membenarkan warga kota memberhentikan kenderaan masing-masing untuk menghormati detik itu.

Beliau berkata, pihak DBKL turut menyediakan beberapa skrin besar di lokasi strategik di ibu negara, seperti Dataran Merdeka, bagi membolehkan warga kota mengikuti siaran Majlis Perkabungan Negara secara langsung dari Kompleks Bunga Raya KLIA.

"Kita (DBKL) beri kebenaran untuk warga kota sekiranya mereka nak berhentikan kenderaan ketika tiba waktu bertafakur, mereka boleh berbuat demikian, kita juga sediakan panel televisyen di kawasan pejalan kali untuk memudahkan mereka mengikuti bagaimana jenazah dibawa, bagaimana penghormatan diberikan kepada mangsa kecelakaan tragedi MH17," ujar beliau ketika hadir pada Program Penghargaan Warga Kuala Lumpur dan Pelancong Kepada Mangsa MH17 di Jalan Raja Laut di sini hari ini.

Sementara itu, Tengku Adnan memberitahu sebanyak tiga puluh ribu tandatangan berjaya dikumpul di atas pemidang penghargaan MH17.

Pemidang terbabit diletakkan selama dua minggu di perhentian bas seluruh Kuala Lumpur, untuk memberi peluang kepada orang ramai meluahkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

"Sebanyak 28 panel juga telah dipasang di lokasi di sekitar ibu kota bagi membolehkan warga kota memberikan penghormatan kepada mangsa tragedi dengan menandatangani panel selama dua minggu.
Panel yang dipasang di hentian bas dan teksi itu kemudiannya dipindahkan ke Jalan Raja Laut berhampiran bangunan DBKL untuk tempoh selama tiga hari bermula semalam.

"Seramai 30,000 orang telah menandatangani panel berkenaan selain menulis ucapan takziah dan berkongsi rasa simpati dengan keluarga mangsa," tambahnya

Pemidang tersebut masing-masing dengan ukurang 16x7 kaki, 25x7 kaki dan 32x7 kaki kini dipamerkan di kawasan siar kaki di depan bangunan DBKL sehingga ke stesen LRT Bandaraya.