Malaysia dan negara-negara anggota pasukan penyiasat bersama nahas penerbangan Malaysia Airlines MH17 sedang menimbangkan dua pilihan pendakwaan bagi membawa pelaku insiden berkenaan ke muka pengadilan.

Dua pilihan itu ialah sama ada melakukan pendakwaan di peringkat nasional oleh salah sebuah negara anggota pasukan atau mewujudkan tribunal antarabangsa.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata sebarang keputusan hanya akan dibuat setelah keputusan hasil siasatan selesai dan terdapat bukti kukuh untuk membawa pelaku jenayah ke muka pengadilan.

"Laporan pasukan penyiasat bersama nahas MH17 pada 28 September 2016 belum mengenalpasti pihak bertanggungjawab. Buat masa ini siasatan masih sedang dijalankan pasukan penyiasat bersama.

"Oleh itu, sebarang tindakan hanya akan diputuskan setelah siasatan nahas selesai dan mendapat bukti kukuh untuk membawa pelaku jenayah ke muka pengadilan," katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) mengenai kaedah yang diambil kerajaan dalam menuntut keadilan terhadap kes itu.

Pada 17 Julai 2014, pesawat MH17 ditembak jatuh dan terhempas di kawasan bergolak di Ukraine berhampiran sempadan Rusia.

Nahas itu mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal, termasuk 44 rakyat Malaysia.

Pada 28 Sept lepas, kumpulan penyiasat antarabangsa diketuai Belanda merumuskan bahawa pesawat itu ditembak jatuh menggunakan pelancar peluru berpandu (BUK) yang dibawa dari Rusia ke Ukraine.