Dua tahun selepas pesawat penerbangan MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine, fokus kini adalah terhadap laporan Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) yang akan mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab terhadap insiden malang itu.

Pakar-pakar penerbangan dan penganalisis berkata laporan yang ditunggu-tunggu itu yang dijadual diterbitkan selepas musim panas (Jun-Julai) akan menentukan dan menjejaki siapa sebenarnya yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Boeing 777 itu yang mengorbankan kesemua 298 orang di dalamnya.

Profesor Juruterbang Penguji Universiti Kuala Lumpur Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata laporan akhir itu mengandungi banyak butiran yang dapat menggambarkan apa yang berlaku apabila fiuslaj hadapan pesawat terkena impak peluncur yang dipercayai daripada peluru berpandu BUK.

"Dengan memiliki maklumat seperti ini, kita berada dalam kedudukan boleh meyakinkan pihak-pihak berkaitan untuk menyegerakan tindakan terhadap pelaku ini," kata Mohd Harridon kepada Bernama baru-baru ini.

Dilaporkan pada 17 Julai 2015, Dutch Safety Board atau Lembaga Keselamatan Belanda merumuskan bahawa hasil penyiasatannya mendapati bahawa jet Boeing 777 itu ditembak oleh peluru berpandu BUK Rusia.

Mereka berkata ia dilancarkan dari kawasan yang dikawal pemberontak pro-Rusia tetapi tidak mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dalam tragedi itu.

Bagaimanapun, Moscow telah sejak itu menafikan perkara berkenaan dan meminta Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) mengadakan penyiasatan baharu terhadap tragedi itu.

Selepas musim panas ini, JIT akan membentangkan hasil pertama siasatan jenayah berhubung nahas penerbangan MH17 berkaitan senjata yang digunakan untuk menembak jatuh kapal terbang itu dan lokasi sebenar senjata itu dilancarkan.

JIT - yang terdiri daripada pakar-pakar dari Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine - sedang mencari kaedah lain untuk membicarakan mereka yang bertanggungjawab, termasuk menggunakan Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Mohd Harridon, yang juga bekas Ketua Penyelidikan dan Inovasi Universiti Kuala Lumpur menarik perhatian bahawa Malaysia patut menunggu laporan akhir ini sebelum mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap pelaku itu oleh itu ia merupakan langkah yang baik memandangkan pasukan itu terdiri daripada negara-negara besar.

"Mengambil tindakan daripada laporan akhir menunjukkan bahawa tindakan kami berdasarkan kesepakatan dan bukti-bukti daripada negara-negara besar dan dari segi persepsi, ia menunjukkan tindakan kita disokongkan oleh maklumat dan data utama.

Menyuarakan pendapat yang sama, seorang lagi pakar penerbangan, Kapten (R) Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff berkata Malaysia harus bertindak hanya terhadap pihak terlibat berdasarkan bukti tuduhan yang memang dipercayai.

"Belum terdapat di sini bukti kukuh untuk ditujukan kepada sama ada pemberontak Ukraine keturunan Rusia atau tentera Ukraine sendiri kerana kedua-duanya adalah pengendali sistem BUK yang sama.

"Lagi pun Igor Girkin bukan satu-satunya pemimpin pemberontak di wilayah itu. Saya percaya Malaysia hanya akan bertindak berdasarkan bukti kukuh yang dikemukakan," kata bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia itu.

Abdul Rahmat menjawab soalan sama ada Malaysia akan mengikut langkah keluarga mangsa pesawat yang menyaman Igor Girkin, yang secara rasminya dituduh merancang menembak jatuh MH17.

Abdul Rahmat juga mencadangkan bahawa sementara menunggu hasil laporan akhir itu, Malaysia juga harus meningkatkan usahanya dalam mendapatkan sokongan daripada anggota-anggota Pertubuhan Bangsa Bersatu dan juga Majlis Keselamatan PBB.

Menurut beliau, ini disebabkan senario politik sekarang di mana anggota-anggota tertentu PBB mempunyai kuasa veto untuk menghalang tindakan tertentu.

Dalam perkembangan yang sama, Mohd Harridon percaya Malaysia perlu memainkan peranan lebih besar dalam memujuk mahkamah dunia di The Hague untuk mengambil tindakan berdasarkan bukti dan laporan komprehensif yang dikeluarkan Lembaga Keselamatan Belanda.

"Pelaku harus didakwa berdasarkan data dan fakta yang dikumpulkan dan adalah baik bagi kepentingan keluarga mangsa yang keadilan ditegakkan dan pensabitan berdasarkan keseriusan jenayah yang dilakukan," katanya.

MH17 akan menjadi misteri yang tidak selesai mungkin bagi kira-kira satu lagi generasi jika tiada sebarang tindakan diambil oleh negara-negara terlibat dalam JIT dan selepas suatu tempoh, keseluruhan insiden ini akan luput daripada ingatan ramai.

Penerbangan MH17, pesawat Boeing 777-200ER, ditembak jatuh semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014.