Malaysia Airlines (MAS) telah mencapai penyelesaian dengan sebuah keluarga Austalia yang terlibat dalam nahas MH17.

Menurut satu laporan dalam The Daily Telegraph, Anthony dan Marite Maslin dari Perth, yang telah kehilangan tiga orang anak Mo, 12, Evie, 10, dan Otis,8, serta ayah Marite, Nick Norris dalam tragedi tersebut telah mencapai kata sepakat dengan syarikat penerbangan itu.

Malaysian Airlines System Berhad, dalam satu emel kepada Astro AWANI, mengesahkan bahawa satu “penyelesaian yang baik dan sulit” telah dicapai dengan keluarga Maslin.

“Malaysian Airlines System Berhad (Administrator Appointed) ("MAS") mengesahkan bahawa ia telah mencapai satu “penyelesaian yang baik dan sulit” dengan keluarga Maslin dan oleh sebab itu, saman itu telah ditarik balik.

“MAS walau bagaimanapun, tidak akan mendedahkan apa-apa maklumat lanjut mengenai saman ini atau mengenai butiran penyelesaian berkenaan kerana menghormati privasi keluarga tersebut. Ingatan dan doa kami sentiasa dengan keluarga dan rakan-rakan yang terjejas, "katanya dalam emel tersebut.

Penyelesaian itu dicapai selepas keluarga Maslin memfailkan saman terhadap syarikat penerbangan itu melalui peguam Colin Biggers & Paisley, Andrew Tulloch.

Saman tersebut telah ditarik balik ekoran penyelesaian itu.

Ia dilaporkan bahawa ini merupakan keluarga pertama di Austalia yang telah menerima penyelesaian. Sekurang-kurangnya 10 keluarga lain di negara itu, masih lagi menunggu pengesahan kes diselesaikan.

Pesawat Boeing B-777 itu dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala lumpur, apabila ditembak di wilayah Donetsk, Timur Ukraine, pada 17 Julai 2014 mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal, termasuk 44 rakyat Malaysia.

BACA: Nama suspek tembak jatuh MH17 akan didedahkan

B
ACA: Penembak pesawat MH17 dijangka diketahui selewat-lewatnya 2018