Malaysia mempunyai peluang untuk membawa kes nahas pesawat MH17 ke muka pengadilan tetapi amat penting untuk mendapatkan bukti terlebih dahulu mengenai jenis peluru berpandu yang menembak pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu hingga menyebabkannya terhempas selain mendedahkan fakta-fakta lain, kata pakar-pakar perundangan.

Peguam Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) Datuk N.Sivananthan berkata untuk berbuat demikian, adalah penting untuk memasuki tapak nahas dengan segera untuk memastikan bukti tidak dicemari.

"Ia membolehkan pemerhatian dari dekat dan mungkin mendedahkan keadaan yang menyebabkan peluru berpandu ditembak serta sebab untuk berbuat demkian.

"Banyak lagi yang perlu dilakukan bagi menjawab persoalan yang bermain dalam fikiran semua keluarga mereka yang berada dalam pesawat itu," kata beliau kepada Bernama hari ini.

Beliau diminta menjelaskan mengenai tindakan undang-undang yang harus diambil oleh Malaysia berhubung dengan insiden MH17.

Sivananthan yang juga Naib Presiden Badan Peguam Jenayah Antarabangsa menegaskan insiden MH17 telah mencabuli Artikel 3 Konvensyen Chicago yang melarang sebarang serangan ke atas pesawat awam.

Tuntutan yang dikemukakan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa adalah hanya tuntutan yang melibatkan pampasan dan ganti rugi, katanya.

"Dalam keadaan kita, isu pertama ialah siapa yang bertanggungjawab. Ada tiga pihak yang memungkinkan untuk disaman sebagai contoh Kerajaan Ukraine, puak pemberontak yang pro Rusia dan Rusia.

"Dengan satu atau lebih daripada tiga pihak itu harus bertanggungjawab, ia adalah permulaan yang baik untuk mendapatkan bukti tentang jenis peluru berpandu yang menjatuhkan pesawat dan lokasi peluru berpandu ditembak," kata beliau.

Sivanathan berkata tindakan boleh diambil secara bersama oleh Malaysia dan semua negara yang warganya berada dalam pesawat MH17, supaya bidang kuasa ICJ benar-benar berlandasakan sivil.

Beliau menjelaskan opsyen lain ialah membawa pembabitan ICC tetapi dalam kes ini, Ukraine bukan pihak yang bersifat negara, oleh itu, ICC tidak mempunyai bidang kuasa.

"Bagaimanapun, Ukraine boleh bersetuju untuk tertakluk di bawah bidang kuasa ICC berhubung insiden itu atau Majlis Keselamatan boleh merujuk insiden itu kepada ICC.

"Buat masa ini, insiden ini boleh ditakrifkan sebagai tindakan pengganas dalam definisi jenayah terhadap kemanusiaan atau jenayah perang. Saya berpendapat jika Ukraine menyatakan bahawa puak pemberontak bertanggungjawab, mereka lebih daripada bersedia untuk bersetuju supaya ICC turut terlibat" kata peguam itu.

Sivananthan menjelaskan ini bermakna penyiasatan boleh bermula dan mungkin berakhir dengan waran tangkap dikeluarkan tetapi untuk menguatkuasakan waran memerlukan bantuan kerajaan Ukraine.

Beliau berkata sebaik ditangkap, mereka boleh dipindahkan ke The Hague untuk menghadapi perbicaraan dan penyiasatan ini mungkin menunjukkan dari mana senjata dibekalkan, dan jika jika tiada tuduhan dikenakan terhadap Rusia, implikasi antarabangsanya boleh menjadi teruk.

Menurutnya pencabulan Artikel 3 Konvensyen Chicago boleh menjadi asas untuk membuat aduan ke ICJ dan juga menjadi asas bagi Majlis Keselamatan untuk merujuk perkara itu kepada ICC, jika Ukraine tidak mengakuinya secara sukarela.

"Saya fikir atas sebab-sebab yang dinyatakan di atas, Malaysia mempunyai peluang untuk berbuat demikian. Tindakan ICJ ialah untuk menentukan pihak-pihak yang bertanggungjawab dan mendapatkan penghakiman terhadap mereka," kata beliau, dan menambah walaupun penguatkuasaan adalah satu isu, sekurang-kurngnya pihak-pihak yang bersalah boleh dikenal pasti.

Peguam itu juga berkata tindakan berhubung ICC membolehkan Malaysia meletakkan nama dan wajah atau nama-nama dan wajah-wajah mereka yang bertanggungjawab, yang membolehkan pendedahan mengenai keadaan yang menyebabkan penembakan peluru berpandu dan sebab untuk berbuat demikian.

Ketika ditanya mengenai kotak hitam, Sivananthan berpendapat sudah tentu Malaysia berhak mendapatkan kotak hitam itu dan pihak berkuasa Ukraine mempunyai hak untuk menyiasat maklumat yang terkandung di dalamnya kerana insiden itu berlaku di bawah bidang kuasa mereka.

Tidak ada sebab mengapa penyiasatan tidak boleh dijalankan bersama dan pihak berkuasa antarabangsa yang lain, katanya.

"Jika kotak hitam berada di pihak Rusia seperti andaian beberapa laporan berita, maka mereka harus menyerahkannya kerana mereka tidak ada kena-mengena menyimpannya.

"Jika mereka mempunyainya dan tidak mahu menyerahkannya, ini akan menguatkan tanggapan bahawa mereka terlibat dan akan menjadi asas untuk PBB dan masyarakat antarabangsa bertindak. Ini juga terpakai bagi semua bukti yang dijumpai di tempat kejadian," kata beliau.

Kepada soalan lain, beliau berkata Jabatan Peguam negara tidak mempunyai bidang kuasa untuk bertindak mengenai insiden itu kerana ia berlaku di bawah bidang kuasa lain.

"Apa yang terbaik ialah meneruskan kes ini ke ICJ dan ICC dan di peringkat diplomatik untuk memujuk Kerajaan Ukraine tertakhluk situasi ini di bawah bidang kuasa ICC. Ini juga akan memastikan insiden ini disiasat di peringkat antarabangsa dan memberi tekanan hebat ke atas mereka yang terlibat," kata beliau.

Bagaimanapun, Sivanathan menarik perhatian bahawa perkara ini tidak boleh dibiarkan dan mereka yang bertanggungjawab perlu dipertanggungjawabkan.

Beliau berkata mereka (pihak-pihak yang terlibat menembak pesawat itu) telah bertindak sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira atau menghormati nyawa manusia.

Pihak-pihak yang secara sengaja atau secara membuta tuli menyokong mereka juga harus dipaksa bertanggungjawab dan identiti mereka didedahkan, katanya.