Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengetuai 68 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertolak ke Kiev pada 11.15 malam tadi untuk menyertai misi siasatan nahas pesawat Malaysia Airlines MH17 yang terhempas di timur Ukraine.

Beliau yang diiringi Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dijadual bertemu dengan Presiden Ukraine, Petro Poroshenko untuk menyampaikan perutusan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai tanda penghargaan atas kerjasama kerajaan Ukraine dalam misi ini.

Menurut Ahmad Zahid tiada tempoh khusus berapa lama pasukan anggota keselamatan Malaysia akan berada di Ukraine berikutan keadaan masih bergolak di negara itu.

"Belum ada kepastian setakat ini siasatan amat sukar. Kawasan itu masih bergolak biarpun dikuasai tentera Ukraine tetapi banyak kemungkinan boleh berlaku jadi tidak dapat menjangkakan berapa lama masa akan diambil" kata Ahmad Zahid.

Menurut Khalid tugas utama pasukan yang terdiri daripada pelbagai unit PDRM itu adalah untuk mengawal lokasi nahas dan melindungi serpihan pesawat yang penting sebagai bahan bukti.

"Kami juga akan kumpul apa sahaja harta benda dan saki-baki mayat mangsa termasuk cebisan tulang yang masih ada di lokasi itu," kata Khalid.

Beliau turut mengakui keadaan amat bahaya dan pasukan keselamatan mengalami kesukaran untuk memasuki lokasi nahas, ia tidak menghalang mereka untuk ke Kiev.

"Kita perlu berada di sana untuk menawarkan bantuan kepada pasukan penyiasat antarabangsa. Pesawat itu milik Malaysia.

Jadi kita perlu hadir untuk menunjukkan pihak kami serius dalam mencari kebenaran," kata Khalid.

Pasukan polis yang tidak bersenjata itu juga akan menyertai pasukan siasatan dan polis dari lain-lain negara termasuk Belanda dan Australia di lokasi nahas.

"Dari segi keselamatan tidak perlu senjata kerana kami datang secara aman untuk melakukan siasatan" tambah Khalid.

Pasukan kedua yang dihantar dari Malaysia selepas Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (SMART) dijangka tiba di Kiev, Ukraine pada Khamis, 11.30 pagi waktu tempatan.

Malaysia pada 19 July telah menghantar pasukan siasatan khas pertama yang terdiri daripada 131 orang daripada pelbagai agensi antaranya Unit Forensik Polis dan pasukan SMART bagi menyiasat insiden malang yang menimpa pesawat MH17.