Perubahan lokasi pencarian ke kawasan baru hari ini dibuat selepas penelitian semula ke atas data serta cerapan satelit yang diterima sebelum ini menunjukkan pesawat itu terbang pada kelajuan yang tinggi, melebihi jangkaan.

Pemangku menteri pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, maklumat terbaru itu diperolehi oleh kumpulan kerja antarabangsa dengan kerjasama beberapa rakan antarabangsa lain yang memproses data yang sama di negara masing-masing.

Penemuan itu menyebabkan lokasi pencarian diubah ke kawasan baru iaitu kira-kira 1,100 kilometer dari kawasan carian selama ini.

Tambahnya menerusi cerapan imej satelit dan data-data yang disalurkan oleh banyak negara, usaha pencarian semakin dapat memahami laluan penerbangan pesawat MH370 dan ia dibuat berdasarkan maklumat dan bukti yang ada ketika ini.

Hishammuddin turut menjelaskan seperti mana yang dimaklumkan pihak berkuasa Australia pada pagi Jumaat, operasi pencarian sudah beralih 1,100 kilometer ke timur laut.

Kawasan baru pencarian itu sebenarnya konsisten dengan potensi objek yang dikenalpasti menerusi cerapan pelbagai satelit sejak minggu lalu ekoran pergerakan arus laut dan ia adalah satu proses berterusan.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, mereka turut menjangkakan akan wujud lagi pengkhususan seperti yang dijelaskan pagi tadi di mana ia merupakan amalan standard dalam operasi mencari.

Proses pengenalpastian data yang berterusan akan mengecilkan lagi kawasan pencarian.

Operasi mencari di kawasan Lautan Hindi dilakukan selepas satelit Australia mengesan dua objek dipercayai mempunyai kaitan dengan MH370.