Pencarian pesawat Penerangan Malaysia (MAS) Boeing 777 MH370 yang hilang secara tiba-tiba pada awal pagi Sabtu lepas memasuki hari kelima hari ini.

Namun, sehingga kini pesawat itu masih belum ditemui walaupun 34 pesawat and 40 kapal dari lapan negara bertungkus lumus mengenal pasti lokasi misteri MH370.


Apa yang kita sudah tahu

Setakat ini, kita sudah tahu bahawa dua lelaki yang menggunakan pasport curi untuk menaiki pesawat MH370 merupakan warganegara Iran masing-masing bernama Pouria Nour Mohammad Mehrdad, 19, dan Delavar Seyed Mohammad Reza, 30.

Kita juga tahu bahawa Pihak Polis Antarabangsa (Interpol) telah menolak kemungkinan keganasan di dalam kejadian ini.

Apa yang kita tahu

Walaubagaimanapun, antara persoalan yang bermain di fikiran ramai orang, bagaimana pesawat MH370 boleh hilang begitu sahaja daripada radar?

Prof Madya Dr Mohd Fadzil Ain dari Pusat Pengajian Elektrik dan Elektronik USM berpendapat bahawa berkemungkinan pesawat tersebut mengalami masalah bekalan kuasa utama dan apabila diaktifkan bekalan kuasa sokongan, bekalan kuasa tersebut juga mengalami kegagalan.

Beliau memberitahu Astro AWANI ini mungkin menyebabkan sistem komunikasi pesawat tidak berfungsi seperti yang diharapkan dan menyedari masalah ini, juruterbang mungkin mengambil langkah berpatah balik ke KLIA mengunakan navigasi secara manual.

Mohd Fadzil berpendapat terdapat kemungkinan yang besar untuk pesawat itu berpusing balik.


Masih menjadi tanda tanya

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam berkata tidak ada kebenaran terhadap khabar angin bahawa lima penumpang tidak menaiki penerbangan MH370.

Beliau menegaskan hasil siasatan yang dijalankan oleh Polis Di Raja Malaysia (PDRM), kesemua penumpang menaiki pesawat.

Lebih kurang dua jam selepas Khalid membuat kenyataan tersebut, MAS mengeluarkan kenyataan hanya empat penumpang yang mempunyai tiket sah tidak muncul untuk daftar masuk.

Sebelum ini Jabatan Penerbangan Awam (DCA) berkata terdapat lima penumpang tidak menaiki penerbangan selepas mendaftar masuk.

Pesawat MH370 yang sepatutnya mendarat di Beijing pukul 6.30 pagi Sabtu dilaporkan hilang dari radar kira-kira pukul 1.40 pagi Sabtu.