Dua serpihan yang ditemui di Mozambique telah tiba di Australia bagi proses analisis oleh pakar-pakar dalam menentukan sama ada ianya datang dari pesawat Malaysia Airlines MH370.

Menurut jurucakap Biro Keselamatan Pengangkutan Australia pada Isnin, dua serpihan tersebut dibungkus dari Afrika dan diterbangkan dalam keadaan begitu ke Australia.

“Ia akan dibuka pada hari ini oleh penyiasat-penyiasat yang datang dari pelbagai negara dan organisasi.

“Prosedur tertentu akan dilakukan bagi mengekalkan integriti bukti,” katanya.

Serpihan pertama ditemukan di Mozambique tertulis perkataan ‘No Step’ manakala serpihan kedua juga ditemukan di negara itu, telah dibawa ke Afrika Selatan oleh keluarga yang menemukan kedua-dua serpihan itu.

BACA: Serpihan pesawat disyaki MH370 dijumpai remaja dari Afrika Selatan

BACA: Serpihan pesawat disyaki MH370 ditemui di Mozambique tiba untuk dianalisa - Liow

Satu lagi objek berukuran 40X20 sentimeter dan mempunyai tanda berwarna biru pada permukaannya yang ditemui awal Mac ini di Pulau Reunion dekat Lautan Hindi.

Pesawat MH370 yang dalam penerbangan ke Beijing, China dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal dilaporkan hilang pada awal pagi 8 Mac, 2014, selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.