Ahli keluarga penumpang warga China pesawat Malaysia Airlines MH370 gagal dalam rayuan untuk menangguhkan prosiding mahkamah di Malaysia sementara menunggu keputusan mahkamah di Amerika Syarikat (AS) berhubung saman mereka mengenai isu bidang kuasa.

Menurut peguam T. Balan Nair yang mewakili mereka, ahli keluarga penumpang itu memfailkan saman di Amerika Syarikat dan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dan isu di AS menunggu untuk mahkamah di AS memutuskan sama ada ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes saman tersebut.

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan diketuai oleh Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh, yang mencapai keputusan majoriti 2-1, hari ini menolak rayuan 32 ahli keluarga tersebut untuk mendapatkan perintah menangguhkan prosiding di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur sementara menungu keputusan mahkamah di AS.

"Kami mencapai keputusan tidak sebulat suara. Hakim Ong (Datuk Vernon Ong Lam Kiat) cenderung untuk membenarkan rayuan itu," kata beliau dan menambah beliau dan Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli berpendapat bahawa mahkamah rayuan tidak harus menggangu keputusan Mahkamah Tinggi

Hakim Mohd Zawawi berkata mahkamah berdasarkan keputusan majoriti mendapati bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dan beliau memerintahkan ahli keluarga itu membayar kos RM5,000, masing-masing kepada Malaysian Airline System Berhad (MAS), Malaysia Airlines Berhad (MAB), dan agensi-agensi kerajaan.

Ahli keluarga itu memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang pada 10 Ogos, tahun ini menolak permohonan mereka untuk membenarkan perintah menangguhkan prosiding.

Mereka menyaman MAS, MAB, Allianz Global Corporate and Speciality, ketua pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Azharuddin Abdul, DCA, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Kerajaan Malaysia kerana kecuaian dan mungkir kontrak.

Pesawat malang yang membawa 239 penumpang dan krew hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014. Laluan penerbangan MH370 dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi.

Terdahulu semasa prosiding di mahkamah, Balan Nair berhjujah bahawa keluarga tersebut telah memulalan tindakan saman di AS dan bahawa MAS dan MAB mencabar bidang kuasa mahkamah untuk mendengar kes itu dan ini mendorong mereka untuk memfailkan saman di Malaysia.

Beliau berkata jika mahkamah di AS menolak untuk mendengar kes itu, maka barulah kes di mahkamah di Kuala Lumpur boleh mula didengar dan menambah anak guamnya memohon perintah penangguhan untuk mengelakkan kepelbagaian prosiding mahkamah.

Bagaimanapun, peguam Saranjit Singh yang mewakili MAS berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah menimbang semua fakta kes apabila memutuskan tidak membenarkan perintah penangguhan.

Peguam kanan persekutuan Alice Loke Yee Ching yang mewakili agens-agensi kerajaan berkata pihak defendan dalam kes saman tersebut bukanlah pihak yang dinamakan dalam kes saman di mahkamah di Amerika Syarikat.

Beliau memintya mahkamah menolak rayuan itu sambil berkata jika perintah penangguhan dibenarkan, pihak defendan kerajaan tidak dapat memfailkan permohonan "interlocutory" untuk kes saman itu dibatalkan.

Sementara itu, Saranjit memberitahu pemberita bahawa susulan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini, prosiding mahkamah di Mahkamah Tinggi akan diteruskan.

Peguam R. Sanjeev Kumar yang mewakili MAB berkata perkara itu ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi pada 15 Dis.

Dalam pada itu, Balan Nair memberitahu pemberita bahawa beliau menunggu arahan daripada anak guamnya sama ada untuk membawa perkara tersebut ke Mahkamah Persekutuan dan menambah ada kemungkinan rayuan selanjutnya boleh dikemukakan.

-- BERNAMA