Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Khamis menafikan kenyataan pusat penyelarasan agesi bersama (JACC) bahawa pencarian pesawat penerbangan Malaysia Airlines MH370 di lautan Hindi tidak akan diperluas selain ada petunjuk khusus baharu.

Pencarian pesawat yang hilang pada 8 Mac tahun lepas, hanya akan dihentikan selepas kawasan operasi mencecah 120,000 kilometer persegi.

Tambahnya, usaha mencari di Lautan Hindi akan diteruskan dan sekiranya pada jarak 120,000 masih lagi tidak menjumpai sebarang petunjuk, kerajaan Australia, China dan Malaysia akan bertemu semula untuk membincangkan langkah seterusnya.

"Kita akan cari dalam jarak 60,000 kilometer persegi dan jika masih tidak menjumpai apa-apa, pencarian akan diperluaskan lagi 60,000 kilometer persegi.

"Jika tiada petunjuk, kita akan rujuk kepada pakar-pakar misi pencarian untuk membuat keputusan seterusnya," ujarnya.

Tiong Lai berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian pelancaran perkhidmatan wi-fi dalam pesawat yang ditawarkan syarikat penerbangan Malindo Air di klia2.

Laporan sebelum ini menyebut JACC tidak akan memperluaskan pencariannya melainkan mendapat sebarang petunjuk dalam misi mencari pesawat MH370.

Jika tiada petunjuk, kita akan rujuk kepada pakar-pakar misi pencarian untuk membuat keputusan seterusnya
Pada masa yang sama, Liow turut menyentuh berita pekerja Malaysia Airlines Berhad yang mendapat tawaran pekerjaan di beberapa syarikat penerbangan lain termasuk AirAsia.

Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Chandra Rama Muthy turut mengesahkan yang 600 bekas pekerja MAS telah memohon untuk menyertai syarikat itu selepas diberhentikan baru-baru ini.

"Kita mempunyai peluang pekerjaan untuk pekerja MAS termasuk termasuk juruterbang dan kru penerbangan," kata Chandra.

BACA: Selepas misi MH370, kapal laut China kembali ke perairan Malaysia
BACA: Kenapa MAS berhentikan kakitangannya sekarang?

MH370 yang dalam penerbangan ke Beijing membawa 239 penumpang dan 12 anak kapal hilang daripada imbasan radar semasa berada di ruang udara Laut China Selatan, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam.

Misi pencarian yang disertai pelbagai negara dikerah, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian diperluaskan ke Selat Melaka dan Laut Andaman sebelum pasukan mencari beralih tumpuan ke kawasan perairan di barat Australia di selatan Lautan Hindi.