Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menafikan laporan media asing bahawa Malaysia telah menerima tawaran syarikat Ocean Infinity untuk meneruskan pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370.

Sebaliknya, perkara itu masih di peringkat perbincangan dan sebarang kata putus sama ada untuk meneruskan atau tidak misi pencarian MH370 masih bergantung kepada kepada keputusan tripatite antara Malaysia, Australia serta China.

Menurut Tiong Lai, misi pencarian MH370 bergantung kepada data-data yang dikeluarkan oleh kumpulan pakar terlibat.

BACA: Pencarian MH370: Malaysia masih dalam proses rundingan dengan Ocean Infinity

Malah, buat masa ini, pihaknya hanya dibenarkan jemaah kabinet untuk berbincang dengan Ocean Infinity iaitu sebuah syarikat yang ingin menawarkan misi pencarian ini di kawasan yang ditetapkan kumpulan itu.

"Kita belum buat lagi apa-apa kontrak dengan Ocean Infinity. Kita hanya melihat atau menerima tawaran apa perkhidmatan yang diberikan oleh Ocean Infinity dan kita akan berbalik kepada jemaah menteri.

"Selain itu kita juga memerlukan keputusan daripada ketiga-tiga buah negara tripatite sama ada akan meneruskan misi pencarian atau tidak, bergantung kepada data-data yang kita ada," katanya kepada media selepas melancarkan aplikasi mobile GoGo Empire di sini hari ini.

Tambahnya, masih terlalu awal untuk membuat sebarang keputusan berhubung pemilihan tawaran syarikat terlibat memandangkan banyak data-data yang masih perlu melalui proses penilaian dan kajian.

"Jadi data-data yang dikeluarkan sekarang kita masih lagi menganalisa data yang dikeluarkan oleh kumpulan pakar. Oleh itu tidak benar bahawa kita telah membuat keputusan untuk meneruskan misi pencarian," tambahnya.

Setakat ini katanya, tiga syarikat telah memberikan tawaran untuk misi pencarian MH370 termasuk Ocean Infinity.

"Oleh kerana ada tawaran ini, maka kita perlulah berbincang dengan pihak-pihak berkenaan terutama sekali dengan syarikat Ocean Infinity yang telah menyatakan dengan polisinya no cure, no fee. Kalau tak dapat cari bangkai tiada bayaran," jelasnya.

Dalam pada itu, waris (NOK) penumpang dan kru MH370 telah dimaklumkan mengenai perkembangan terkini mengenai tawaran berkenaan.

"Kita sudah beritahu semua NOK bahawa ada tawaran ini kerana kita perlu maklum pada NOK sekiranya ada tawaran, kita boleh maklumkan pada NOK sama ada kita nak teruskan atau tidak. Kita telah maklumkan kepada mereka baru-baru ini," kata beliau lagi.

Pesawat MH370 hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014, membawa 239 penumpang dan anak kapal.