Malaysia akan meneruskan usaha mencari pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu, meskipun negara-negara lain menarik diri.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagaimanapun berkata, melihat daripada sokongan yang ditunjukkan dunia luar, adalah jauh sekali mereka hendak berbuat demikian.

“Setakat hari ini yang tarik diri pun bukan kerana mereka tidak mahu meneruskan usaha (pencarian) tetapi lokasi koridor itu bukan semua negara mempunyai kapal-kapal ataupun pesawat yang boleh membantu mengesan debris (serpihan) sedia ada.

“Sebab itu jika hendak kata mereka tarik diri.. jauh skali,” kata beliau dalam sidang media harian operasi mengesan pesawat MH370 di Pusat Dangan Dunia Putra (PWTC), pada Jumaat.

Hishammuddin menyatakan rasa kagum dan terharu dengan sokongan serta bantuan yang telah diberikan oleh pasukan dari negara-negara luar setakat ini.

Katanya berdasarkan kerjasama tersebut, tidak ada halangan atau kekangan bagi Malaysia untuk menyelaras operasi mencari dan menyelamat (SAR) ini.

“Itu yang berikan kita kekuatan dan semangat untuk meneruskan usaha ini dan itulah yang memberi semangat kepada pasukan kita,” tegasnya.

Tambahnya lagi, Malaysia tidak akan putus asa dalam operasi mencari pesawat ini serta akan meneruskan usaha setakat yang mampu.

Usaha mengesan pesawat MH370 yang dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi digerakkan ke kawasan baharu yang terletak kira-kira 1,100 kilometer dari kawasan carian sebelum.

Ia dibuat berdasarkan kepada petunjuk baru boleh dipercayai yang diserahkan oleh pasukan penyiasat Malaysia kepada pihak berkuasa di Australia.

Zon baharu itu luasnya lebih kurang 319,000 kilometer persegi dan terletak lebih dekat dengan pesisir pantai barat Australia iaitu kira-kira 1,850 kilometer dari Perth, berbanding 2,000 kilometer sebelum ini.