Pemeriksaan teknikal akan dijalankan di bawah kerangka prosedur kehakiman dan siasatan teknikal antarabangsa bersama untuk memeriksa serpihan flaperon yang ditemui di Pulau Reunion, kata Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata perkara itu dipersetujui apabila pegawai dari Malaysia bersama dengan pegawai dari Biro Siasatan dan Analisis Keselamatan Penerbangan Awam Perancis (BEA) menemui hakim penyiasat di Paris pada 3 Ogos dalam satu mesyuarat penyelarasan.

Mesyuarat penyelarasan ialah untuk membincangkan prosedur pemeriksaan dan pengesahan sebelum membuat pemeriksaan ke atas flaperon yang dijadualkan pada Rabu ini di Toulouse, katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

"Mesyuarat bersifat informasi dan berhasil dan Malaysia menghargai sepenuhnya kerjasama yang diberikan dalam hal ini," kata Azharuddin, yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Peringkat Tinggi MH370.

Flaperon itu telah dipindahkan ke Toulouse, Perancis pada 1 Ogos di bawah rangka kerja siasatan kehakiman Perancis yang diketuai oleh hakim penyiasat, M. Alain Gaudino untuk pemeriksaan lanjut bagi mengesahkan keasalan serpihan berkenaan.

Pada 29 Julai, bahagian dari sayap pesawat dikenali sebagai flaperon dijumpai di Pulau Reunion dan ia dipercayai daripada pesawat Boeing 777, lantas meniupkan spekulasi bahawa ia mungkin milik pesawat MH370 Malaysia Airlines yang hilang.

Pada 8 Mac tahun lepas, Penerbangan MH370 hilang dari imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 orang penumpang dan krew.

Azharuddin berkata, Malaysia dan Perancis berkongsi keprihatinan dan kebimbangan semua anggota keluarga terdekat untuk menentukan keasalan flaperon dengan harapan untuk mengakhiri penantian selama 16 bulan bagi berita dan bukti-bukti fizikal mengenai pesawat yang hilang itu.

"Malaysia juga merakamkan penghargaannya kepada BEA kerana membantu untuk memudahkan mesyuarat penyelarasan," katanya.

BACA: Serpihan di Pulau Reunion milik MH370? Apa yang diketahui setakat ini

Azharuddin mengulangi komitmen Kuala Lumpur bahawa ia akan menjalankan semua usaha yang perlu untuk membantu dalam proses pengesahan dan apa-apa siasatan selanjutnya yang mungkin dijalankan di Perancis walaupun jika Malaysia meneruskan siasatannya sendiri dalam perkara ini.

Menurut Lampiran 13 Konvensyen mengenai Penerbangan Awam Antarabangsa 7 Disember 1944, Malaysia, sebagai Negara Mendaftar dan Negara Pengendali Boeing 777 - MH370, telah menjalankan siasatan keselamatan pada 8 Mac tahun lepas.