Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS) Ahmad Jauhari Yahya menzahirkan perasaan bangga dengan komitmen yang ditunjukkan oleh 20,000 petugas syarikat itu walaupun diuji dengan dua buah tragedi sepanjang tahun 2014 – kehilangan pesawat MH370 pada bulan Mac dan insiden pesawat MH17 ditembak jatuh pada Julai.

"Saya benar-benar kagum kerana mereka menunjukkan tahap profesionalisme yang ekstrem. Mereka telah lakukan lebih daripada skop tugas mereka untuk membantu.

"Ada sebahagian daripada mereka terlibat secara peribadi dalam urusan penjagaan (caregiver). Mereka telah duduk bersama ahli keluarga mangsa. Mereka membantu dan mendengar.

"Saya lihat orang bertindak secara sukarela. Terdapat semangat kesukarelawanan di situ. Ia sangat luar biasa,” kata Ahmad Jauhari dalam wawancara eksklusif bersama Astro AWANI yang akan disiarkan Ahad ini.

Ahmad Jauhari
CEO MAS Ahmad Jauhari Yahya menzahirkan perasaan bangga dengan komitmen yang ditunjukkan oleh 20,000 petugas syarikat itu. Foto Astro AWANI/SHAFIQUE SHUIB

#SETAHUNMH370: KONGSI INGATAN ANDA

Apabila ditanya bagaimana insiden ini memberi impak perubahan kepada tahap profesionalismenya, Ahmad Jauhari berkata: “Saya rasa jika anda bertanya pada mana-mana CEO syarikat penerbangan apakah mimpi paling buruk buat mereka, jawapannya adalah kehilangan pesawat dan nyawa (penumpang dan anak kapal)”.

"Dalam pengalaman saya, kami telah kehilangan bukan satu tapi dua buah pesawat dalam jangka masa empat bulan,” kata beliau.

Ahmad Jauhari juga mendedahkan bahawa ketiadaan jawapan mengenai misteri kehilangan pesawat MH370 menjadikan keadaan sangat sukar, tambahan pula untuk berdepan dengan waris juga keluarga terdekat mangsa, selain menambah keluarga penumpang China lebih emosional berbanding orang Malaysia.

"Mereka (waris keluarga China) akan bertanya kenapa kita tidak menemui pesawat. Ia adalah soalan yang sukar kerana kami sendiri tidak mempunyai jawapan. Mereka mendesak jawapan yang kami tidak dapat berikan,” ujar beliau.

Apabila ditanya tentang perancangan beliau selepas kontrak beliau dengan MAS berakhir pada bulan September nanti, Ahmad Jauhari berkata beliau mahu berehat dahulu.

"Saya secara peribadi mahu berehat. Perancangan saya selepas itu? Saya akan buat keputusan selepas saya berehat,” kata beliau.

NOTA: Saksikan temu bual penuh bersama Datuk Seri Liow Tiong Lai, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya pada 8 Mac di saluran Astro AWANI (Saluran 501) mulai 7 pagi. Layari astroawani.com untuk laman tribut khas bagi memperingati setahun pesawat Malaysia Airlines MH370 mulai 12.01 pagi Ahad.