Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata beberapa serpihan yang ditemui di Tanzania, Timur Afrika, mungkin daripada pesawat jenis Boeing 777.

Katanya, hasil analisa daripada gambar serpihan berkenaan mendapati ia adalah mirip pesawat berkenaan.

Bagaimanapun, ujar Liow, buat masa ini, ia belum dapat dipastikan sama ada milik pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac 2014.

"Berdasarkan gambar yang kita dapat lihat ia kelihatan seperti pesawat Boeing 777. Selepas kita dapat kenal pasti jenis pesawat itu, baru kita akan siasat lanjut sama ada ia adalah MH370," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Dunia Hui Zhou ke-9 di sini, hari ini.

BACA: Barangan peribadi ditemui di Madagascar bukan milik penumpang MH370 - Liow

Tambahnya, pihak berkuasa Tanzania sedang menganalisa serpihan berkenaan untuk mengesahkan jenis pesawatnya.

"Sekiranya disahkan ia Boeing 777, maka kita akan menghantar pasukan penyiasat kami untuk mengambil balik sampel untuk analisa lanjut," katanya.

MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal dilaporkan hilang pada Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.