Serpihan kedua yang berkemungkinan milik pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang ditemui di Mozambique tiga bulan lepas, dijangka tiba di tanah air minggu ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata serpihan itu akan dihantar ke Australia bersama serpihan pertama yang tiba di tanah air Khamis lepas, untuk proses pengesahan serpihan itu.

Baru-baru ini, agensi berita Reuters melaporkan sebuah keluarga dari Afrika Selatan menyerahkan serpihan dipercayai daripada pesawat MH370 kepada pihak berkuasa penerbangan awam Afrika Selatan.

"Mereka bertindak membawa pulang serpihan itu ke negara mereka (Afrika Selatan). Jabatan Penerbangan Awam (DCA) telah menghubungi pihak berkuasa Afrika Selatan mengenai perkara ini untuk mereka menguruskan hak penjagaan serpihan itu," kata Liow kepada pemberita selepas melancarkan program i-Star Internship di Kolej Universiti Tuanku Abdul Rahman (KUTAR), di sini hari ini.

Sekeping serpihan berwarna putih sepanjang satu meter tiba di tanah air, dipercayai penstabil mendatar pesawat Boeing 777, yang ditemui di pesisiran pantai antara Mozambique dan Madagascar oleh seorang lelaki Amerika awal bulan ini.

"Pasukan Malaysia terdiri daripada Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia bagi MH370, DCA dan MAS akan dihantar ke Mozambique untuk mengambil alih hak penjagaan serpihan berkenaan daripada pihak berkuasa penerbangan awam Afrika Selatan," katanya.

Liow berkata Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 ICAO Malaysia bagi MH370 terdiri daripada tujuh wakil bertauliah daripada tujuh pihak berkuasa penyiasatan kemalangan udara, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat dan Boeing akan menyertai proses pemeriksaan serta pengesahan serpihan berkenaan di Australia.

Mengulas mengenai satu lagi objek berukuran 40X20 sentimeter dan mempunyai tanda berwarna biru pada permukaannya yang ditemui awal bulan ini di Pulau Reunion, dekat Lautan Hindi, Liow berkata ia akan dihantar kepada pihak berkuasa Perancis untuk menjalani ujian pengesahan.

Katanya, Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 ICAO Malaysia bagi MH370 akan turut serta menjalankan ujian pengesahan itu di Perancis.

"Bagaimanapun kami mahu menekankan bahawa serpihan-serpihan tersebut masih belum dikenal pasti milik pesawat MH370 atau tidak. Saya mohon orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi sebelum keputusan rasmi diterima," katanya.

Pesawat MH370 yang dalam penerbangan ke Beijing, China dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal dilaporkan hilang pada awal pagi 8 Mac, 2014, selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.