Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono memberi jaminan tujuh warganegara itu yang juga penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang pada 8 Mac lepas, tidak mempunyai kaitan dengan jaringan pengganas.

Hal tersebut ditegaskan Presiden Indonesia itu berikutan langkah kerajaan Malaysia yang sedang meneliti profil kesemua penumpang pesawat berkenaan, yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Susilo berkata beliau sudah mendapatkan laporan lengkap daripada pihak berwajib negara berkenaan berhubung kesemua latar belakang tujuh penumpang warganegara Indonesia itu.

"Jadi, kalau ada kecurigaan Malaysia atau mana-mana pihak, ingin saya jelaskan tidak ada mana-mana warganegara kita (Indonesia) yang memiliki latar belakang misalnya terlibat terorisme," kata Susilo dalam sidang media di sini, semalam.

Beliau yang sentiasa memantau perkembangan kehilangan pesawat berkenaan, sebelum itu menghadiri mesyuarat khas bersama beberapa menteri kabinet Indonesia, untuk membincangkan berhubung kehilangan misteri pesawat MH370 itu.

Susilo berkata laporan daripada Menteri Koordinasi Politik, Hukum dan Kemanan, Djoko Suyanto mengenai profil kesemua tujuh penumpang warganegara Indonesia itu menunjukkan bahawa tiada sebarang yang 'aneh' mengenai latar belakang mereka.

"Namun hal ini perlu dikomunikasikan dengan jelas jangan sampai ada spekulasi dan berita yang tidak benar," katanya.

Presiden Indonesia itu berkata beliau turut menerima laporan terkini daripada Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa berhubung kehilangan misteri pesawat MH370 itu.

Susilo amat mengharapkan tidak ada sebarang kecurigaan kepada Indonesia terhadap insiden itu yang turut dikaitkan dengan kemungkinan pesawat MAS tersebut dirampas.

"Saya mendengar ada berita dari satu titik ke titik yang lain tentang itu (rampasan). Saya berharap kita bisa (boleh) memberi maklumat dengan jelas dan tegas bahawa tidak perlu ada kecurigaan seperti itu hasil siasatan kita di dalam negeri," katanya.