MH370: Vietnam dakwa jumpa dua tompokan minyak di laut

MH370: Vietnam dakwa jumpa dua tompokan minyak di laut
KUALA LUMPUR: Dua tompok tumpahan minyak yang dipercayai datang daripada enjin pesawat Boeing 777-200 milik Malaysia Airlines yang hilang awal pagi Sabtu ditemui dalam operasi mencari yang dilakukan pihak berkuasa Vietnam, lapor sebuah akhbar negara itu.

Akhbar Tuoi Tre itu juga melaporkan tompokan minyak masing-masing sepanjang 20 kilometer pada jarak 500 meter antara satu sama lain itu ditemui juruterbang pesawat tentera Vietnam yang menyertai misi pencarian tersebut.

Tompokan minyak itu dilaporkan ditemui 140 kilometer ke selatan Pulau Tho Chu di pesisir selatan Vietnam.
Selain tompokan minyak, pasukan pencari Vietnam juga mengesan kepulan asap di permukaan laut berhampiran tempat tompokan minyak ditemui di koordinat 7.25 utara, 103.2320 timur.

Sebelum itu akhbar yang sama melaporkan pesawat MH370 yang dalam penerbangan ke Beijing itu terhempas di Laut China Selatan dalam kawasan perairan Malaysia.

Laksamana Tentera Laut Vietnam, Ngo Van Phat dipetik berkata pesawat itu dipercayai terhempas kira-kira 300 kilometer dari Pulau Tho Chu. Pulau itu terletak 102 ke barat daya resort peranginan Phu Quoc dekat kawasan perairan sempadan Malaysia dan Vietnam.

Penerbangan MH370 ke Beijing itu membawa 227 penumpang dari 14 negara selain 12 anak kapal terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi Sabtu.

Pesawat itu berlepas dari KLIA pada 12.41 pagi dan dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi.

Ia dilaporkan hilang selepas gagal dikesan pada radar pusat kawalan trafik udara Vietnam yang kemudian melaporkannya kepada pusat kawalan trafik di Subang.

Dalam pada itu, Vietnam juga menyatakan kesediaan untuk menggerakkan misi mencari dan menyelamat sekiranya ada permintaan daripada kerajaan Malaysia.

"Oleh kerana pesawat itu hilang dalam kawasan perairan Malaysia, Vietnam tidak boleh menghantar pasukan penyelamatnya tanpa permintaan rasmi daripada Malaysia," kata Mejar Jeneral Pham Hoai Giang, pengarah Jabatan Mencari dan Menyelamat di Kementerian Pertahanan Vietnam dipetik oleh Tuoi Tre.