MIC menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya tujuh kerusi Parlimen dan 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang dijangka akan berlangsung tidak lama lagi.

Presidennya, Datuk Seri Dr S. Subramanian berkata, parti itu melihat peluang cerah untuk menang di beberapa kerusi di Johor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Melaka, Pahang dan dua kerusi di Kedah.

Katanya, keyakinan itu berdasarkan faktor hasil gerak kerja yang diatur dan akan dilakukan jentera MIC dalam masa terdekat ini, misalnya melalui aktiviti mendaftar pemilih baharu dan program turun padang bersama badan bukan kerajaan (NGO).

"Kita telah mengenal pasti bahawa kita boleh menang enam daripada sembilan kerusi Parlimen yang akan ditandingi pada PRU14 dan kalau boleh, cuba mendapatkan tujuh kerusi.

"Bagi kerusi DUN pula, walaupun PRU lepas kita hanya bertanding di 18 kerusi, namun kali ini kita akan bertanding di semua 19 kerusi dan sasaran menang sekurang-kurangnya 13 atau 14 kerusi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Pemukiman MIC: ''Persiapan Menjelang PRU14'', di Universiti AIMST, dekat sini, hari ini.

Pada PRU13 pada 2013, MIC menang empat daripada sembilan kerusi Parlimen dan lima daripada 18 kerusi DUN yang ditandingi oleh parti kaum India itu.

Mengulas mengenai kemungkinan meletakkan calon dari parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain untuk bertanding di kerusi yang gagal dimenangi MIC dalam PRU lalu, Dr Subramaniam menegaskan, ia perlu diputuskan menerusi perbincangan.

"Kerusi yang ditandingi MIC, dan memang jelas milik MIC, begitu juga kerusi yang kita kalah, tetap milik MIC, itu yang diamalkan dalam budaya politik BN.

"Kalau pun ada perubahan, ia akan dibuat dalam suasana persetujuan di mana MIC diberikan kerusi lain, yang mempunyai peluang kejayaan yang sama," katanya, yang juga Menteri Kesihatan..

Terdahulu, hampir 300 pemimpin MIC pelbagai peringkat dari seluruh negara, menghadiri program pemukiman itu selama tiga hari, bermula Sabtu lepas.

-- BERNAMA