Microsoft, CyberSecurity mahu peruntukan untuk tingkat kesedaran keselamatan siber

Microsoft, CyberSecurity mahu peruntukan untuk tingkat kesedaran keselamatan siber
Pelaburan berterusan perlu untuk mewujudkan kesedaran mengenai keselamatan siber. - Gambar fail
CyberSecurity Malaysia dan Microsoft Malaysia mahu peruntukan untuk meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan siber negara dan mendidik orang ramai di bawah Bajet 2018 memandangkan Malaysia kini bergerak secara agresif ke arah pendigitalan.

Pegawai Teknologi Kebangsaan Microsoft Malaysia Dr Dzahar Mansor, berkata pelaburan berterusan perlu untuk mewujudkan kesedaran mengenai keselamatan siber.

"Kesedaran, terutamanya dalam sektor pendidikan, perlu diwujudkan dari awal lagi, contohnya, di peringkat sekolah," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan laporan risikan keselamatan dwi-tahunan Microsoft yang terkini di sini, hari ini.
Laporan itu mengandungi penemuan serantau yang menunjukkan Malaysia antara negara yang berdepan malware yang semakin meningkat, katanya.

Beliau berkata firma perisian itu telah melabur AS$1 bilion (AS$1= RM4.23) setahun dalam penyelidikan dan pembangunan keselamatan siber di peringkat global.

Dzahar berkata kes malware Malaysia merosot sebanyak 16.7 peratus pada suku pertama 2017 berbanding suku pertama tahun lepas, yang masih lebih tinggi daripada purata global sebanyak sembilan peratus.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab, berkata peruntukan bagi peningkatan keselamatan siber adalah penting, terutamanya dengan ruang siber tanpa batasan yang menjadi permulaan ancaman siber.

"Hari ini, kita berdepan satu daripada cabaran keselamatan nasional dan ekonomi yang paling serius. Setakat September 2017, kami telah mencatatkan kira-kira 62,000 kes melalui saluran kami, Cyber999, dengan kes penipuan yang paling banyak dilaporkan," katanya.

Mengenai kesedaran dalam sektor korporat, katanya, kira-kira 5,001 peserta dari pelbagai organisasi menyertai kempen Cybersafe sehingga September tahun ini.

"Ini merupakan peningkatan kerana kami hanya menarik 192 peserta ketika kami bermula pada 2009," katanya.

-- BERNAMA