Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo akan melakukan lawatan kerja dua hari ke Malaysia mulai hari ini, yang merupakan lawatan pertama beliau ke negara ini sejak dilantik menyandang jawatan itu pada April tahun ini.

Menurut kenyataan Wisma Putra hari ini, esok Pompeo akan mengadakan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dilantik semula sebagai Perdana Menteri berikutan kemenangan beliau dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lepas.

"Lawatan ini memberi kesempatan yang luas kepada kedua-dua negara, Malaysia dan Amerika Syarikat untuk mengadakan perbincangan meluas mengenai pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa di mana kedua-dua negara mempunyai kepentingan bersama," kata Wisma Putra.

Selain Kuala Lumpur, Pompeo juga dijadual melawat Singapura dan Indonesia dalam rangka lawatan beliau ke Asia Tenggara pada 1-5 Ogos.

Amerika Syarikat telah menjalin hubungan diplomatik dengan Malaysia pada 1957 selepas Malaysia memperoleh kemerdekaan daripada United Kingdom.

Washington dan Kuala Lumpur telah meningkatkan hubungan dua hala mereka kepada Perkongsian Komprehensif pada April 2014, dan kedua-duanya kini melaksanakan perkongsian yang meluas dan pelbagai dalam bidang-bidang perdagangan, pelaburan, keselamatan, kerjasama alam sekitar selain bidang pendidikan dan kebudayaan.

-- BERNAMA