Tutup

Millenial paling rugi tanpa ilmu pelaburan

Millenial paling rugi tanpa ilmu pelaburan
Dalam tempoh pasaran bull sejak 2009 itu, syarikat-syarikat yang didagangkan di pasaran saham Amerika Syarikat mencatatkan kenaikan harga saham yang kelihatan seolah-olah tidak masuk akal. - Gambar fail/Agensi
TEMPOH 10 tahun lalu menyaksikan pasaran 'bull' terpanjang yang pernah direkodkan dalam sejarah Amerika Syarikat sejak Perang Dunia Kedua.

Sejak 9 Mac 2009, pasaran S&P 500 melonjak daripada paras 666 kepada lebih 3,000 hari ini, iaitu peningkatan 350 peratus dalam tempoh 10 tahun.

Malangnya, ramai yang terlepas peluang untuk mencipta kekayaan luar biasa sepanjang tempoh ini disebabkan kurang pengetahuan mengenai pelaburan saham.

Paling rugi adalah golongan millenial kerana merekalah pengguna alaf baharu yang membantu menaikkan pasaran saham ini dan mempunyai tempoh masa yang panjang untuk melabur, namun gagal menikmati sebarang pulangan.
Jika mereka dilengkapi dengan ilmu pelaburan saham dan melabur menggunakan simpanan bulanan sejak mula bekerja, simpanan mereka yang kini rata-rata berumur di bawah 40 tahun akan mencecah ratusan ribu atau jutaan ringgit.

Pasaran bull merupakan istilah yang diberikan apabila pasaran saham berada dalam keadaan menaik bagi satu tempoh masa yang panjang.
Pasaran bull selalunya berlaku semasa ekonomi berada dalam keadaan yang kukuh atau sedang mengukuh. Pertumbuhan GDP (Keluaran Dalam Negara Kasar) dalam tempoh ini akan menunjukkan peningkatan dan kadar pengangguran menurun.

Tonton Netflix, dapat jutaan ringgit

Dalam tempoh pasaran bull sejak 2009 itu, syarikat-syarikat yang didagangkan di pasaran saham Amerika Syarikat mencatatkan kenaikan harga saham yang kelihatan seolah-olah tidak masuk akal, terutama kepada individu yang tidak pernah didedahkan kepada potensi pasaran saham.

Saham Netflix, laman hiburan internet yang menjadi pilihan kebanyakan millenial untuk mengisi masa lapang, mencatatkan peningkatan sehingga 5,858 peratus dari 9 Mac 2009 hingga akhir Disember lalu.

Malah, jika ada pelabur yang melaburkan RM10,000 dalam Netflix semasa ia memulakan perkhidmatan penstriman video pada awal 2007, wang itu akan menjadi kira-kira RM1.1 juta hari ini, iaitu pulangan lebih 10,000 peratus.

Pusat membeli-belah dalam talian, Amazon pula menyaksikan peningkatan harga saham sebanyak 3,000 peratus dari 9 Mac 2009 hingga Ogos 2018.

Amazon

Pembuat semikonduktor Micron Technology dan Nvidia – komponen yang digunakan dalam alatan elektronik seperti komputer dan telefon pintar – turut mencatatkan peningkatan 1,763 peratus dan 2,886 peratus masing-masing. Saham Apple pula merekodkan kenaikan sebanyak 1,700 peratus dalam tempoh sama.

Ini semua produk yang digunakan generasi teknologi seperti millenial, dan mereka jugalah yang mendorong peningkatan harga saham ini melalui permintaan terhadap produk inovatif keluaran syarikat-syarikat tersebut.

Namun apa yang dikesali adalah golongan millenial ini bukanlah generasi pelabur saham dan akibatnya, mereka terlepas peluang yang panjang untuk menikmati durian runtuh.

Tidak melabur kerana kurang ilmu

Kajian oleh Bank Barclays di United Kingdom beberapa bulan lalu menunjukkan bahawa golongan millenial – iaitu individu berusia 18 hingga 34 tahun – lebih berhati-hati dalam perkara yang berkaitan dengan kewangan mereka. Millenial bukanlah generasi yang suka mengambil risiko seperti yang sering digembar gemburkan.

Hampir separuh daripada millenial yang berumur 18 – 24 tahun sekadar menyimpan wang dalam akaun semasa yang memberikan pulangan amat rendah dan hanya 18 peratus daripada millennial yang berusia 25 hingga 34 tahun melaburkan duit mereka.

Dapatan kajian ini mungkin tidak mengejutkan bagi sesetengah orang yang beranggapan pada usia tersebut, kebanyakan millenial memerlukan simpanan tunai yang mencukupi sebelum ia boleh dilaburkan dalam pasaran saham.

Namun, di sinilah kesilapan kebanyakan orang kerana pelaburan saham sebenarnya tidak memerlukan modal yang besar.

Malah, kajian Barclays itu membuktikan bahawa kekurangan ilmu pelaburan adalah halangan terbesar bagi golongan millennial untuk melabur, diikuti dengan takut mengambil risiko yang dikaitkan dengan ‘bermain’ saham.

Anggap saham ‘perjudian’ jangka pendek

Pasaran bull yang meningkat sejak 10 tahun lalu membuktikan bahawa pasaran saham merupakan platform pelaburan jangka panjang yang lumayan.

Namun, millenial gagal menyedari hakikat ini.

Akibat daripada kekurangan ilmu pelaburan yang betul, ramai millenial tersungkur kerana terpedaya dengan pelbagai skim yang menjanjikan bulan dan bintang seperti pulangan tetap setiap bulan.

Terdapat segelintir daripada mereka sanggup melabur dalam skim-skim tersebut untuk mendapatkan wang segera bagi membayar deposit rumah pertama atau melangsaikan komitmen bulanan.

Skim-skim tersebut merupakan salah satu taktik penipuan yang telah menjerat ramai millennial menggadai harta dan simpanan mereka untuk melibatkan diri dalam ‘pelaburan’ yang tidak sah. Dalam konteks agama Islam, janji untuk memberikan pulangan tetap dalam pelaburan juga adalah termasuk sebagai Riba’ yang diharamkan.
Sebenarnya, golongan millenial ini masih muda dan mempunyai masa yang lama untuk melabur bagi mendapatkan pulangan lebih tinggi sebagai persediaan untuk persaraan.

Sama seperti generasi sebelum ini, millenial berpandangan hartanah adalah pelaburan jangka panjang terbaik bagi mereka, diikuti dengan pelaburan tunai sifar risiko.

Ramai yang selesa memilih hartanah kerana ia bersifat ketara (tangible) berbanding dengan pelaburan saham yang lebih abstrak.

Walau bagaimanapun, hartanah memerlukan masa yang lebih panjang untuk memperoleh keuntungan. Selain itu, individu yang memiliki hanya sebuah rumah untuk diduduki sendiri perlu membayar cukai, fi penyelenggaraan dan pembaikan.

Kos sara hidup pada hari ini memang tinggi dan tidak setara dengan kenaikan gaji. Hal ini menyebabkan ramai millenial terpaksa terlibat dengan pelbagai jenis hutang.

Dalam satu tinjauan di Amerika Syarikat, lebih 67% millenial memilih ‘melangsaikan hutang’ sebagai keutamaan tertinggi dalam hidup mereka sehingga terpaksa mengetepikan simpanan untuk persaraan.

Fenomena ini turut berlaku di Malaysia. Bank Negara Malaysia tahun lalu melaporkan bahawa 47% golongan muda di Malaysia mempunyai hutang kad kredit yang tinggi dan 38% mengambil pinjaman peribadi.

Lebih 3,400 orang berumur antara 20 dan 30 tahun juga mendapatkan kaunseling daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) pada tahun 2017.

Hal ini menunjukkan ramai golongan muda di Malaysia telah terlibat dalam hutang yang tidak terkawal pada saat mereka baru mula bertatih dalam dunia pekerjaan.

Hal ini telah mengurangkan keupayaan mereka untuk menyimpan wang dan tidak dapat membantu menjana pertumbuhan ekonomi negara.

Jangka hayat yang semakin panjang juga akan memberi kesan kepada millenial sekiranya mereka tidak mempunyai simpanan atau pelaburan khusus untuk persaraan.

Namun, millenial adalah golongan cekap teknologi, atau tech-savvy. Kelebihan ini boleh digunakan untuk belajar pelaburan yang dapat memberikan mereka pulangan tinggi dalam masa lebih singkat, seperti pelaburan saham.

Bukan itu sahaja, pelaburan saham kini berada di hujung jari, dengan pelbagai aplikasi mudah untuk menjual dan membeli saham pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Inilah yang perlu dipelajari oleh golongan millenial supaya mereka tidak terlepas lagi peluang mencipta kekayaan kerana melalui pengetahuan ini, millenial dapat menguasai kemahiran bermain saham, dan bukannya dipermainkan oleh saham.

Jangan lupa mulakan dengan simpanan setiap bulan dan ajar diri supaya lebih disiplin tentang penyimpanan.

Ramai yang lupa konsep pelaburan adalah dari menggandakan wang simpanan bertujuan meraih pulangan yang hebat dari pasaran yang garang.

Buka minda anda untuk menerima ilmu yang baru tetapi pelaburan saham adalah ilmu yang berkurun lama. Jika anda bersedia untuk dibimbing mengenal ciri-ciri saham gergasi dunia yang naik 10 kali ganda seperti Amazon dalam beberapa tahun, apa kata anda tuntut ilmu pelaburan saham untuk memberi pulangan yang baik di www.menangsaham.com di lokasi yang terpilih.

Jangan lupa untuk tonton program temu bual Menang Saham Bersama DDNK musim kedua pada setiap Isnin di saluran 501 Astro AWANI.


* Tonton rancangan 'Menang Saham Bersama DDNK' pada setiap Isnin di saluran 501 Astro Awani untuk mempelajari langkah pertama menjadi pelabur berjaya.

**  Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.




Tag: pasaran bull, pasaran S&P 500, pelaburan jangka masa pendek, naik turun pasaran, pelaburan tunai sifar risiko, pelaburan saham, barclays, Perang Dunia Kedua, Kolumnis AWANI



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.