Bahagian mimbar dan permaidani sebuah masjid di Kampung Padang Setol, Pedu dekat Padang Terap di sini dipercayai dibakar oleh pihak tidak bertanggungjawab dalam kejadian disyaki mempunyai unsur khianat.

Ini adalah kes keempat kejadian masjid dibakar dalam tempoh seminggu iaitu dua daripanya berlaku di Pendang iaitu di Masjid Pendang dan Masjid Sungai Rambai dan satu lagi di Masjid Tok Keling, Jalan Alor Mengkudu di Alor Setar.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris memaklumkan, anggotanya yang bertugas di pejabat pertanyaan pada jam 8.01 pagi tadi menerima panggilan dari orang awam memaklumkan ada kebakaran di Masjid Padang Setol, Mukim Pedu.

Beliau berkata, kebakaran bermula dari atas mimbar masjid dan karpet di bawah mimbar.


BACA: Dua masjid di Pendang terbakar, dipercayai angkara khianat

Anak kariah masjid terbabit sampai di masjid pada jam 5.40 pagi dan mendapati api sudah dipadamkan sepenuhnya. - Foto JBPM


Papan kenyataan digital yang diletakkan di bahagian atas dinding turut terbakar.

Noh berkata, anak kariah masjid terbabit sampai di masjid pada jam 5.40 pagi dan mendapati api sudah dipadamkan sepenuhnya.

Pemeriksaan dilakukan mendapati bahagian mimbar mempunyai kesan terbakar.

Noh berkata, punca kebakaran masih belum diperolehi dari Bahagian Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati masjid itu tidak dilengkapi kamera rakaman litar tertutup (CCTV).

Setakat ini tiada saksi yang didapati melihat kejadian dan tiada barang berharga lain hilang.

Kebakaran bermula dari atas mimbar masjid dan karpet di bawah mimbar. - Foto JBPM

Pihak Forensik JBPM dan PDRM dipanggil untuk membantu siasatan dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Setakat ini belum ada tangkapan dilakukan dan kes masih dalam siasatan.

Noh berkata, kes disiasat juga kemungkinan ada unsur khianat.

Sementara itu, Bahagian Forensik Jabatan Bomba Dan Penyelamat mempercayai minyak petrol digunakan suspek dalam kejadian khianat membakar Masjid di Kampung Padang Setol, dekat Padang Terap, Kedah awal pagi tadi.
Menurut Penolong Kanan Penguasa Bomba, Cawangan Penyiasatan Kebakaran, Ahmad Zamri Chik, siasatan awal bomba mengenalpasti minyak petrol digunakan untuk membakar selepas bahan petrol itu berjaya dikesan dengan menggunakan alat “Carbon Detector”.