Minggu Antarabangsa Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 14-20 Ogos ini, bakal menjadi platform penting untuk mengenengahkan usaha yang dibuat dalam memantapkan sistem penyampaian kerajaan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, berdasarkan 90 projek yang telah dilaksanakan kerajaan, Malaysia dilihat sebagai antara yang terulung di dunia yang mengamalkan konsep ini.

"Kita mungkin pernah dengar contoh syarikat yang mengamalkan konsep NBOS, antaranya ialah syarikat Samsung.

"Sebagai sebuah negara, Malaysia sebuah negara terulung yang amalkan konsep NBOS dan diharap dengan program seperti ini, kita akan jadi pakar rujuk dalam bidang ini untuk negara-negara lain," katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pra Pelancaran Minggu Antarabangsa Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di sini hari ini.

Tambah baliau, dalam sesi persidangan antarabangsa, pihaknya bakal menjemput pengamal konsep NBOS dari seluruh dunia untuk melihat pendekatan lain yang boleh diteliti untuk dilaksanakan di Malaysia.

Minggu Antarabangsa Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) menampilkan enam program utama antaranya Hari Terbuka NBOS, Larian NBOS, Persidangan Antarabangsa Strategi Lautan Biru, Anugerah Lautan Biru Global, Mesyuarat Menteri Komanwel berkaitan Pembangunan Mapan serta Persidangan CAPAM.