Minuman keras, rokok seludup bernilai hampir RM600,000 dirampas di Miri

Minuman keras, rokok seludup bernilai hampir RM600,000 dirampas di Miri
ACP Shamsol bersama pegawai dan anggota PPM menunjukkan rokok seludup yang dirampas di Senadin, Miri.
MIRI: Pasukan  Polis Marin Wilayah Lima Sarawak (Miri) berjaya merampas minuman keras dan rokok seludup bernilai RM 549,192.60 dalam serbuan di sebuah gudang tiada bernombor di kawasan Senadin Kuala Baram, Miri semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Lima, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, serbuan pada jam 8.30 pagi itu dilakukan berdasarkan risikan dan maklumat orang ramai.

Kata beliau, pemantauan di kawasan sekitar gudang itu dilakukan selama dua jam sebelum gagal mengesan sebarang pergerakan orang yang disyaki bertindak sebagai penjaga.

"Pasukan penguatkuasa kemudian bertindak memotong kunci pagar gudang menggunakan alat pemotong besi dan apabila masuk menemukan guni berwarna hijau yang berisi minuman keras serta kotak rokok pelbagai jenama yang disyaki tiada cukai kastam," katanya.

Pemeriksaan mendapati guni hijau itu mengandungi minuman keras dan rokok seludup yang tiada cukai kastam.

Kesemua rokok dan minuman keras itu diserahkan kepada pihak Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Miri untuk siasatan selanjutnya.

Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.


Tag: minuman keras, rokok seludup, rampasan, tiada cukai kastam, Miri, Kuala Baram, Asisten Komisioner Shamsol Kassim



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.