Penurunan harga minyak berkuatkuasa pada 1 Februari bakal memberi wang lebih untuk perbelanjaan dan menambah pelaburan.

Itu adalah reaksi Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan dalam twit terbarunya sebentar tadi, susulan pengumuman Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berkenaan penurunan harga petrol dan diesel.

Harga petrol RON95 diumumkan pada Sabtu turun sebanyak 21 sen seliter manakala RON97 diturunkan sebanyak 11 sen seliter dan diesel turun 23 sen, mulai 1 Februari 2015.


Ia menjadikan harga terkini adalah RM1.70 untuk petrol RON95, RM2 bagi RON97 dan RM1.70 bagi diesel.

Rata-rata orang ramai menyambut baik berita tersebut dan menganggap ia sebagai berita gembira buat pengguna-pengguna jalan raya.

Ada juga yang mahu mula memakai minyak jenis RON97 yang dilihat berada pada paras harga berpatutan.

Namun, ada yang turut bimbang dengan harga baru ini jika harga barang tidak turun.