Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) disaran lebih banyak sekatan jalan raya dan rondaan pada waktu malam hujung minggu oleh pihak berkuasa di kawasan sekitar Jambatan Pulau Pinang.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata ini kerana waktu tersebut dilihat sebagai tempoh kemungkinan ramai pemandu mabuk atau mengambil bahan larangan menggunakan jambatan tersebut.

“Secara amnya, kemalangan secara majoritinya berpunca daripada sikap manusia 80 peratus, manakala jalan dan persekitaran menyumbang kepada 13 peratus dan kerosakan kenderaan dengan tujuh peratus.

“Cadangan oleh PLUS meletakkan kamera AWAS adalah bersesuaian, namun untuk mengetahui tahap keselamatan kedua Jambatan Pulau Pinang adalah disarankan juga pihak berkuasa jalan raya jalankan audit keselamatan jalan raya (Tahap 5) atau pemeriksaan keselamatan jalan raya (RSI).

“Dapatan daripada pemeriksaan ini akan dapat mengenal pasti kelemahan sedia ada dan seterusnya penambahbaikan akan dapat dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang,” katanya kepada Astro Awani, pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemalangan di Jambatan Pulau Pinang sehingga mengakibatkan sebuah kenderaan jenis kereta utiliti sukan (SUV) terhumban ke dalam laut mengakibatkan pemandunya terkorban.

Untuk rekod, sehingga kejadian tersebut kemalangan kenderaan terhumban ke laut dari Jambatan Pulau Pinang adalah yang kelima direkodkan dalam tempoh 2010 sehingga kini.

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata penghadang jalan di jambatan Pulau Pinang perlu mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

“Mana-mana jambatan mematuhi piawaian yang telah ditetapkan (TL-5 atau lebih), kemungkinan besar kenderaan tersebut tidak akan terkeluar dari jambatan itu,” jelasnya.