Misi Food Flotilla For Myanmar dilihat sebagai lambang penyatuan ummah khususnya umat Islam menerusi dua parti terbesar orang Melayu iaitu UMNO dan Pas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia tidak rela melihat etnik Rohingya selaku saudara setauhid terus dizalami, dibunuh, dibakar dan diperkosa.

“Saya sudah kata sebelum ini, cukup sudah Rohingya dizalimi dan hari ini merupakan detik bersejarah buat Malaysia apabila kira-kira 2,200 tan makanan dan ubat-ubatan dihantar ke Myanmar,” katanya semasa berucap pada majlis merasmikan perlepasan Flotilla di sini hari ini.

BACA: Food Flotilla for Myanmar: Lebih 600 tan barangan dihantar ke Pelabuhan Klang

TONTON: Analisis AWANI: Misi kemanusiaan Flotilla Nautical Aliya untuk Rohingya


Jelas Datuk Seri Najib, kerjasama di antara UMNO dan Pas akan terus diperkekalkan terutama atas nama kemanusiaan.

"Ini soal kemanusiaan, bukan soal politik. Memang benar ada orang UMNO dan Pas dalam misi ini. Kita akan pastikan jumlah peserta akan sama banyak termasuk muslimat.

“Ini semangat yang kita ingin lihat, mudah-mudahan semoga perjalanan kapal ini selamat dan Allah akan lindungi dan capai kejayaan.

“Misi ini adalah berdiri atas prinsip semangat kemanusiaan rakyat yang satu akidah dan berpegang kuat ukhwah Islamiah, penyatuan ummah menjadikan apa yang tak boleh kita capai dapat dicapai,” kata Najib.

Misi Food Flotilla For Myanmar yang membawa 2,200 tan bantuan makanan dan ubat-ubatan dengan kapal Nautical Aliya, di Terminal Boustead Cruise Centre, berlepas tepat jam 4 petang tadi.

Pelancaran disempurnakan Datuk Seri Najib bersama Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, sejurus laungan azan berkumandang.

Sebelum itu, Najib turut meninjau suasana di atas kapal dan menyampaikan amanat ringkas kepada peserta misi sebelum memulakan perjalanan.

Misi anjuran Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) itu turut disokong lebih 30 badan bukan kerajaan (NGO) dalam dan luar negara.

Misi disertai 238 sukarelawan termasuk anggota media dan pakar perubatan yang akan membantu masyarakat Islam di Teknaf dan Myanmar yang ketika ini hidup melarat akibat konflik.

Antara lain, misi bertujuan menyampaikan mesej kepada Myanmar untuk menghentikan penindasan ke atas etnik Rohingya dan menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada kelompok terjejas di wilayah Rakhine.

Lebih 60,000 pelarian Rohingya melarikan diri ke Bangladesh dari Maungdaw di utara Rakhine sejak Oktober tahun lalu akibat operasi tentera Myanmar.