Seorang pemancing dilaporkan hilang selepas terjatuh dari bot ketika sedang memancing bersama lapan lagi rakannya di Perairan Teluk Kalong, Kemaman.

Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata menerusi kejadian pada Ahad lalu pihaknya telah memperluaskan pencarian dalam operasi yang memasuki hari keempat.

“Mengikut keadaan semasa serta arus laut sekarang ni, berkemungkinan dia dibawa ke arah selatan. Jadi, tumpuan pencarian kami adalah di kawasan sekitar arah selatan Kuantan seperti teluk cempedak. Itu yang kami akan fokuskan sehingga hari ini,” ujarnya.

Menurutnya kawasan pencarian juga telah diperluaskan kepada 44 batu nautika dari lokasi kejadian sehingga ke Perairan Tanjung Gelam, Kuantan, Pahang.

Selain itu, beliau berkata pihaknya turut meminta bantuan daripada pihak Pelabuhan Kemaman untuk memberikan maklumat sekiranya terdapat kapal-kapal di pelabuhan tersebut terjumpa dengan mayat mangsa di sekitar perairan berkenaan.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, Muhammad Rashidi Basiran, 32 tahun, dikatakan terjatuh daripada bot ketika sedang memancing di perairan Teluk Kalong bersama lapan orang lagi rakannya.

Rakan mangsa yang menyedari kejadian berkenaan cuba menyelamatkannya namun mangsa telah dihanyutkan arus dan tenggelam sebelum rakan yang lain bertindak menghubungi pihak berkuasa bagi memaklumkan berkenaan kejadian tersebut.