Kementerian Kewangan (MoF) hari ini mengumumkan MMC-Gamuda akan meneruskan projek Transit Aliran Deras (MRT) Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (MRT2) dengan pengurangan kos yang lebih besar untuk kerja-kerja bawah tanah.

Menterinya, Lim Guan Eng, berkata keputusan itu dibuat selepas rundingan akhir yang mana MMC-Gamuda bersetuju meningkatkan pengurangan kos kerja-kerja bawah tanah kepada RM3.6 bilion daripada RM2.13 bilion. Kos kerja-kerja bawah tanah sekarang ini adalah RM13.11 bilion.

"Ini bermakna kos pembinaan (tidak termasuk kos faedah, kos pengambilan tanah dan kos lain) MRT2 berjaya dikurangkan sebanyak RM8.82 bilion atau 22.4 peratus daripada RM39.35 bilion kepada RM30.53 bilion," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, MMC-Gamuda bersetuju memberikan potongan kos sebanyak RM5.22 bilion untuk kerja-kerja atas tanah, yang diterima oleh MoF.

Bagaimanapun, tawaran MMC-Gamuda untuk mengurangkan potongan sebanyak RM2.13 bilion untuk kerja-kerja bawah tanah tidak dipersetujui oleh MoF dan keputusan diambil untuk menamatkan kontrak berkenaan dan ditender semula.

Hari ini, Jemaah Menteri bersetuju dengan tawaran baharu MMC-Gamuda dan kos rasionalisasi berkenaan.

Lim berkata, kesemua stesen atas tanah MRT2 dikekalkan sementara dua stesen bawah tanah - Bandar Malaysia (Utara) dan Bandar Malaysia (Selatan) - akan ditangguhkan menjadikan jumlah stesen di dalam rancangan asal 35 kepada 33.

MRT adalah projek strategik Kerajaan Persekutuan yang dilaksanakan untuk mempertingkatkan ketersambungan pengangkutan rel awam di Lembah Klang. Projek MRT2 secara khususnya akan memenuhi keperluan penduduk Lembah Klang yang masih tidak dihubungkan dengan sistem rel.

Ia menawarkan perkhidmatan MRT di sepanjang koridor berkepadatan tinggi yang menghubungkan Sungai Buloh dengan Serdang dan Putrajaya.

Jemaah Menteri pada 3 Oktober 2018 meluluskan penerusan kerja pembinaan atas tanah MRT2 oleh MMC-Gamuda sebagai kontraktor turnkey dengan kos RM17.42 bilion berbanding kos asal RM22.64 bilion. Ini adalah penjimatan sebanyak RM5.22 bilion atau 23 peratus.

Pada masa sama, Jemaah Menteri memutuskan supaya kontrak kerja-kerja bawah tanah yang bernilai RM16.71 bilion ditamatkan dan kerja yang belum siap ditender semula. Ini kerana, Kerajaan Persekutuan dan MMC-Gamuda gagal mencapai persetujuan dan penyelesaian untuk kos kerja-kerja bawah tanah.

MoF mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, atas keprihatinan beliau dalam perkara ini yang membawa kepada rundingan semula dan seterusnya keputusan hari ini untuk meneruskan kerja-kerja bawah tanah dengan MMC-Gamuda

Lim berkata, kerajaan akan sentiasa berusaha untuk mendapatkan "nilai untuk wang" bagi semua perbelanjaan kerajaan, terutama apabila sesuatu projek membabitkan pinjaman yang besar.

"Penjimatan kos pembinaan projek ini sebanyak RM8.82 bilion atau 22.4 peratus juga akan mengurangkan kadar tambang yang perlu dibayar oleh pengguna MRT pada masa depan, sekali gus meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan penduduk Lembah Klang," tambahnya.

-- BERNAMA