Kerajaan akan melaksanakan model baharu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mulai tahun depan untuk memperkasakan kepimpinan akar umbi, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata model baharu itu antara lain menyediakan latihan untuk menambah ilmu dan keberkesanan kepimpinan JKKK dan meletakkan had maksimum umur pengerusi JKKK kepada 65 tahun yang dirasakan lebih munasabah.

"Kalau dah 70 tahun mungkin sukar nak buat kerja. Kalau guna had umur penjawat awam 60 tahun ada yang kata mereka masih bertenaga," katanya pada majlis berbuka puasa Perdana Menteri Bersama JKKK Negeri Kedah di Dewan Wawasan Kubang Pasu, Jitra dekat sini Ahad.

Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

"Kita serah kepada Shafie untuk umum di peringkat nasional," katanya.

Perdana Menteri berkata sebelum model baharu itu diperkenalkan, kerajaan memutuskan tempoh khidmat kesemua JKKK yang sepatutnya berakhir Jun tahun ini dilanjutkan ke akhir tahun ini.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa menghargai peranan JKKK dan telah menaik elaun semua pengerusi JKKK dan setiausahanya di samping elaun mesyuarat.

"Kalau ada kemampuan kerajaan boleh kaji dari semasa ke semasa," katanya.

Perdana Menteri turut melahirkan rasa puas hati dengan pencapaian Barisan Nasional (BN) dan Umno Kedah yang berjaya merampas kembali Kedah daripada pembangkang pada pilihan raya umum ke-13 lepas.

"Saya senang hati pencapaian terbaik jika dihitung dari bilangan kerusi yang berubah ke tangan Umno dan BN. Meningkat daripada empat kerusi Parlimen kepada 10 kerusi dan tambah 14 kerusi Dewan Undangan Negeri kepada 21," katanya.

Beliau berkata pencapaian Kedah pada pilihan raya umum ke-13 antara lain hasil sokongan JKKK dan ia juga menunjukkan semangat kerjasama, berpasukan dan setiakawan yang sangat membanggakan.

"Kalau tak ada semangat setiakawan tak mungkin kita (BN) capai kemenangan pada pilihan raya umum yang lepas. Kalau Umno dan BN Kedah tak bertindak atas satu pasukan maka tak mungkin juga kita akan capai kejayaan," katanya.

Beliau berharap akan ada perubahan dan kelainan dalam masa terdekat dan lima tahun akan datang demi kehendak dan kepentingan rakyat.

"Mereka beri mandat (kepada BN) kerana mereka menguji kerajaan PAS selama lima tahun. Sebahagian besar pengundi Kedah dulu sokong pakatan pembangkang beralih menyokong BN dan Umno kerana kegagalan dan kekecewaan (terhadap pembangkang) menunaikan janji pada pilihan raya umum 2008," katanya.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan sumbangan kepada anak yatim daripada dua buah sekolah agama di Kedah.