Syarikat gergasi teknologi Samsung Malaysia Electronics (SME) melancarkan peranti elektroniknya yang terbaharu iaitu Samsung Galaxy Note 8 yang menjanjikan kepuasan maksimum kepada penggunanya melalui inovasi terbaharu daripada segi kamera dan sistemnya.

Ketua Perniagaan IM, SME Liew Kian Meng berkata Galaxy Note 8 tampil dengan dwi-kamera yang terbaik dalam kelasnya dan ia merupakan peranti berfungsi mengikut kaedah kehidupan harian.

"Ia memiliki reka bentuk paparan inovatif dan teknologi terkini serta pelbagai aksesori yang berguna," katanya ketika majlis pelancaran Galaxy Note 8 di pusat beli-belah Pavilion, di sini, hari ini.

Galaxy Note 8 memiliki paparan lebih besar berbanding siri Note terdahulu, namun ia kekal nipis untuk lebih keselesaan ketika dipegang dengan sebelah tangan.

"Ia memiliki paparan Infiniti bersaiz 6.3 inci Quad HD Super AMOLED membolehkan pengguna melihat tanpa perlu menggerakkan paparan teks lebih kerap," tambah Liew.

Turut hadir memeriahkan majlis pelancaran tersebut, artis Korea yang popular dengan rancangan televisyen genre permainan komedi, Running Man iaitu Song Ji-Hyo.

Galaxy Note 8 dijana lensa dwi-kamera bersaiz 12 mega piksel (MP) dengan Pengimbang Imej Optikal (OIS) pada kedua-dua lensa luas dan telefoto.

Fungsi S Pen yang dipertingkatkan akan memberikan pengalaman baharu untuk menulis, melukis dan berinteraksi dengan rakan-rakan.

"Ia memiliki titik lebih halus, sensitivi tekanan lebih baik serta ciri-ciri yang membolehkan pengguna menzahirkan diri mereka yang tidak mampu ditawarkan oleh mana-mana peranti pintar lain," kata Liew.

Selain rekaan pengimbas cap jari yang dikemas kini, peranti Samsung Galaxy Note 8 ini juga mensajikan RAM berkapasiti 6GB serta pengimbas muka dan iris.

Ciri-ciri utama lain yang dibawa Galaxy Note 8 termasuk kalis air dan habuk (IP68) serta fungsi pengecasan pantas tanpa wayar.

Samsung Galaxy Note 8 mula dijual pada Khamis dengan harga RM3,999.

Bermula 21 hingga 24 September 2017, pembeli terawal akan diberi Gear VR bernilai RM499 secara percuma dan pelindung skrin telefon berharga RM149.

Galaxy Note 8 boleh didapati dengan tiga pilihan warna iaitu Midnight Black, Orchid Gray dan Maple Gold.