Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan menzahirkan rasa gembira berikutan keputusan kerajaan untuk melantik Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) daripada kalangan wakil rakyat pembangkang.

Beliau berkata ia merupakan tindakan yang betul daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan selari dengan manifesto yang pernah dijanjikan.

"Baguslah kerana itu satu daripada janji PH bahawa (jawatan) pengerusi PAC akan diberikan kepada pembangkang," katanya dalam sidang media harian di Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, di sini, hari ini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini dipetik sebagai berkata, kerajaan PH membuat janji iaitu pengerusi PAC dikhaskan kepada wakil rakyat pembangkang.

Katanya, UMNO sebelum ini tidak memberikan nama wakil untuk dicadangkan sebagai pengerusi PAC, menyebabkan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang sebelum ini dipilih sebagai Pengerusi PAC atas kapasitinya sebagai wakil rakyat pembangkang sebelum menyertai Bersatu, meneruskan jawatan berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan BN akan meletakkan Anggota Parlimen Parit Sulong yang juga Ketua Wanita UMNO Datuk Dr Noraini Ahmad sebagai pengerusi PAC, sekiranya jawatan tersebut dikosongkan.