Tumpuan Jawatankuasa Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan ke atas Kementerian Pertahanan ialah kerana ia merupakan permintaan Menteri Pertahanan sendiri iaitu Mohamad Sabu, kata pengerusinya Tan Sri Ambrin Buang.

Kata bekas Ketua Audit Negara itu, jawatankuasa ini bukan ditubuhkan untuk mencari kesalahan pentadbiran kerajaan lalu, namun ia lebih kepada bagaimana untuk mengesyorkan agar salah laku tidak berulang lagi.

“Jawatankuasa ini diberi mandat oleh Kerajaan untuk menyiasat kes perolehan dan pembelian aset yang dirasakan mencurigakan, sebarang dakwaan salah guna kuasa, atau pembaziran kewangan negara.

“Ianya juga akan mengesyorkan tadbir urus kewangan lebih baik, dan langkah membasmi ketirisan negara,” katanya kepada sidang media hari ini.

Dalam sidang media itu, Ambrin turut memperkenalkan barisan ahli jawatankuasa yang lain, termasuk Bekas Presiden Institut Akauntan Malaysia, Tan Sri Dr Abdul Samad Alias; bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Dr Mohd Tap Salleh; serta Ketua Pengarah Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff.

Turut tersenarai ialah Bekas Pengarah Audit, Jabatan Audit Negara, Datin Paduka Ong Swee Leng dan Peguam Bela dan Peguam Cara, Dr Zulqarnain Lukman.

Ditanya sekiranya peranan jawatankuasa ini akan bertindih dengan agensi lain yang mempunyai peranan seakan-akan sama, Ambrin berkata, pihaknya mempunyai mandat dan skop yang berlainan seperti mana yang dipersetujui mesyuarat Kabinet pada 30 Mei lalu.

Jelas Ambrin lagi, pihaknya juga mempunyai mandat untuk memanggil sesiapa saja yang dirasakan perlu bagi membantu sebarang siasatan, dan jawatankuasa itu juga akan bermesyuarat bila yang dirasakan perlu.

Untuk siasatan pertama berkaitan Kementerian Pertahanan, Ambrin berkata pihak kabinet bersetuju tiada sebarang tempoh masa akan diberikan.

Ditanya sekiranya jawatankuasa akan melihat kembali sebarang unsur penyalahgunaan kuasa dalam pembelian kapal selam Scorpene, Ambrin berkata – “I cannot say yes or no to that”.