Perkhidmatan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara ditamatkan mulai 27 Julai 2015 atas sebab-sebab kesihatan.

Laporan dikeluarkan agensi berita kebangsaan Bernama hari ini memetik kenyataan daripada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Tempat Abdul Gani digantikan oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkuat kuasa pada tarikh yang sama.

Ali dalam satu kenyataan media hari ini berkata Abdul Gani akan terus berkhidmat sebagai Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan sehingga beliau bersara wajib pada 6 Okt 2015, lapor Bernama.

"Tan Sri Abdul Gani Patail telah banyak berjasa kepada negara selama beliau memegang jawatan sebagai Peguam Negara.

"Saya bagi pihak Kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih di atas khidmat bakti beliau dan berharap beliau sentiasa beroleh kesihatan yang memuaskan," katanya.

Pelantikan Mohamed Apandi dibuat mengikut Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan dan telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah atas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mohamed Apandi berkelulusan LLB(Hons) Universiti of London dan Bar-At-Law, Inner Temple London serta telah mengikuti pengajian di Institute of Advanced Legal Studies, London.

Antara jawatan yang pernah dipegang beliau adalah sebagai Majistret di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Timbalan Pendakwa Raya bagi Kelantan dan Terengganu, Hakim Mahkamah Tinggi Malaya, Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia dan Hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia.

Ia susulan laporan awal sebuah portal berita tempatan yang mendakwa Abdul Gani tidak menerima sebarang makluman mengenai pemecatannya.

Abdul Gani yang mula memegang jawatan peguam negara sejak 2002 sebelum ini pernah dilaporkan mengalami masalah kesihatan.

Akhbar Utusan Malaysia melalui kolum Awang Selamat pada Mei juga pernah melaporkan mengenai keadaan kesihatan Abdul Gani yang tidak menentu sehingga memaksa beliau bercuti.

Reaksi Gani

Sementara itu, Gani memberitahu sebuah portal berita bahawa dia tidak tahu mengenai keputusan penamatan khidmatnya sebagai Peguam Negara.

“Saya tidak mahu bercakap apa-apa sekarang,” katanya apabila dihubungi the Malay Mail Online.