Mohamed Haniff Khatri Abdulla dilantik Pengerusi Perda

Mohamed Haniff Khatri Abdulla dilantik Pengerusi Perda
Mohamed Haniff Khatri Abdulla dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) yang baharu. - Gambar Facebook/Haniff Khatri
KUALA LUMPUR: Peguam terkemuka, Mohamed Haniff Khatri Abdulla dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) yang baharu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata pelantikan itu mendapat persetujuan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mohamed Haniff merupakan pemegang Ijazah Sarjana LLN (Hons) dari London School of Economics (LSE) dan seorang peguam yang berkhidmat selama 19 tahun bersama Majlis Peguam Malaysia, katanya dalam kenyataan hari ini.

Rina turut mengumumkan pelantikan Profesor Emeritus Datuk Dr Sukiman Sarmani sebagai Pengerusi Universiti Teknikal MARA (UniTEK MARA) dan Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi selaku Pengerusi MARA Corporation Sdn Bhd.

Sukiman sebelum ini terlibat dengan Penyelidikan dan Pembangunan seperti Offshore Oil Production EPMI, Terengganu dan Pembangunan Kualiti Air, Jabatan Alam Sekitar, manakala Akhramsyah Muammar Ubaidah telah berkhidmat selama 16 tahun sebagai jurutera, konsultan dan pengurusan sebuah syarikat petroleum antarabangsa.

Dalam kenyataan tersebut, tidak dinyatakan tarikh pelantikan tersebut berkuat kuasa dan tempoh mereka memegang jawatan berkenaan.

-- BERNAMA