Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilantik kembali sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan bagi penggal yang kedua.

Majlis mengangkat sumpah Timbalan Menteri Besar dan juga sembilan orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan berlangsung di Istana Kota Lama di sini, di hadapan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Dr Muhammad Faiz Petra ibni Sultan Ismail Petra.

Barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Kelantan menyaksikan empat muka baharu iaitu ADUN Selising, Tuan Saripudin Tuan Ismail; ADUN Kadok, Azami Mohd Nor; ADUN Kijang, Dr Izani Husin dan ADUN Pengkalan Kubor, Wan Roslan Wan Hamat.

Majlis Perlantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Exco Kerajaan negeri yang berlangsung di Istana Kota Lama itu diketuai oleh Mohd Amar sendiri.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob telah pun mengangkat sumpah pada Khamis lalu.

Dalam majlis berkenaan, turut mengangkat sumpah, empat lantikan semula iaitu ADUN Kemahang, Mejar Datuk Md Anizam Abd Rahman; ADUN Temangan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan; ADUN Pengkalan Pasir, Datuk Hanifa Ahmad dan ADUN Demit, Mumtaz Md Nawi.

Manakala empat ADUN yang digugurkan ialah Datuk Ahmad Fattah Mahmood, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, Datuk Anuar Tan Abdullah dan Datuk Dr Ramli Mamat.

Sementara itu Mohd Amar yang ditemui selepas majlis mengangkat sumpah menjelaskan, perlantikannya sebagai Timbalan Menteri Besar diperkenan oleh Pemangku Raja serta dipilih oleh Menteri Besar Kelantan.

“Saya dilantik atas perkenan Tuanku dan pemilihan dibuat oleh Menteri Besar Kelantan yang inginkan saya berada dalam kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai dakwaan berlaku penolakkan terhadap beliau oleh pihak tertentu.