Pegawai perubatan psikiatri dari sebuah hospital kerajaan, Mohd. Hazreen Abdul Rashid diangkat sebagai juara selepas berjaya mengenepikan 11 peserta lain dalam pertandingan akhir Famelab Malaysia 2019 peringkat kebangsaan di ibu negara pada Jumaat.

Kemenangan Mohd. Hazreen, 32, sekali gus melayakkannya menerima hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 selain berpeluang mewakili negara dalam pertandingan Famelab Antarabangsa pada 5 dan 6 Jun depan di Festival Sains Chelthenham di United Kingdom.

“Saya memilih topik pengulangan ketagihan dadah kerana banyak tuduhan dan kecaman yang diterima oleh golongan ini kerana kembali menagih selepas pulih bertahun-tahun.

“Mereka dikatakan jahat dan lemah iman, tetapi masyarakat perlu tahu ia sebenarnya disebabkan oleh banyak faktor.

“Servis pemulihan dadah adalah salah satunya. Ketagihan dadah ini berlainan mengikut jenis, jadi rawatannya juga berlainan,” katanya.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafik; Pengarah British Council, Sarah Deverall; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT), Datuk Dr. Mohd. Yusoff Sulaiman.

Dalam pada itu, Dr. Mohd. Yusoff berkata, beliau berharap agar Malaysia mampu mencipta kemenangan hatrik pada pertandingan peringkat antarabangsa selepas dua pencapaian terdahulu oleh Pensyarah Genetik di Fakulti Perubatan dan Kesihatan Sains Universiti Sunway dan Pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat Universiti Sains Malaysia, Dr. Siti Khayriyyah Mohd. Hanafiah.

“Kualiti peserta Famelab pada tahun ini adalah sangat baik sebab latihan telah diberikan di peringkat permulaan oleh pakar daripada British Council.

“Semua peserta walaupun tidak masuk ke peringkat akhir mendapat latihan untuk memperbaiki cara persembahan dan cara untuk berkomunikasi dengan mudah,” katanya.

Famelab merupakan sebuah pertandingan sains komunikasi yang memerlukan peserta membuat persembahan berkaitan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik dalam masa tiga minit.

Pertandingan ini berjaya menarik minat seramai 63 pemohon dan seramai 12 orang tersenarai sebagai peserta akhir menerusi tiga tapisan di peringkat negeri yang berlangsung pada Februari hingga Mac lalu.

Famelab dianjurkan oleh MIGHT bersama British Councils serta mendapat sokongan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Tinggi dan pusat penyelidikan profesional, Euraxess.

Persembahan diadili berdasarkan tiga kriteria utama iaitu kandungan, kejelasan dan karisma.

Panel hakim terdiri daripada ahli akademik dan personaliti media termasuk Ketua Bahagian Pembangunan Pelajar Kementerian Pelajaran Malaysia, Dr. Zaid Omar, Pakar Perunding Kajian Masa Hadapan merangkap penulis, pengarang buku fiksyen serta pakar komunikasi strategik, Dr. Liz Alexander, Pegawai Kanan Pentadbiran (Penyelidikan dan Pengetahuan), University of Nottingham, Prof Deborah Hall dan Timbalan Ketua Pengarang Astro AWANI, Kamarul Bahrin Haron.