Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berkuat kuasa 1 Oktober bagi menggantikan Tan Sri Borhan Dolah yang bersara pada 9 September lepas.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Abu Bakar berkata, Mohd Khairul Adib, 57, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ijazah Sarjana Sains Polisi dari Saitama University, Jepun.

"Beliau telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 31 tahun sejak mula menyertai perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 12 Januari 1988," kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.

Ismail berkata, Mohd Khairul Adib mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan dan perkhidmatan awam serta pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha dan Timbalan Ketua Setiausaha di Kementerian Pengangkutan, Setiausaha Bahagian di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (sekarang dikenali sebagai Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim).

Selain itu, katanya, Mohd Khairul Adib pernah berkhidmat di Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (sekarang Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli) dan bertugas sebagai Penasihat Pendidikan dan Latihan di Tokyo, Jepun dan London, United Kingdom.

"Kerajaan juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Borhan Dolah di atas segala khidmat bakti beliau sepanjang tempoh memegang jawatan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, khususnya membawa pembaharuan dalam sistem perkhidmatan awam dan sumbangan beliau kepada negara," katanya lagi. - BERNAMA