Datuk Mohd Nasir Ahmad dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan dan Lembaga Pengarah Media Prima Bhd (MPB) berkuat kuasa hari ini.

Syarikat media bersepadu itu dalam satu kenyataan hari ini turut mengumumkan pelantikan Raja Datuk Zaharaton Raja Zainal Abidin sebagai Pengarah Kanan Bebas Bukan Eksekutif dan Mohd Rashid Mohd Yusof sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Media Prima.

“Mohd Nasir mula menjadi Ahli Lembaga Pengarah Media Prima pada 26 Februari 2016. Beliau adalah Pengarah Kanan Bebas Bukan Eksekutif dan dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Interim pada 21 Mei 2018.

“Lembaga Pengarah telah menjalankan proses pemilihan yang teliti untuk mengisi jawatan Pengerusi Kumpulan dan percaya Datuk Mohd Nasir merupakan calon yang paling sesuai untuk menerajui Media Prima di dalam usaha untuk menjadi syarikat kandungan dan perdagangan digital yang utama di Malaysia.

“Dengan pelantikan baharu Datuk Mohd Nasir ini, beliau akan meletak jawatan yang dipegang dalam Media Prima, iaitu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Audit Kumpulan, Ahli Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan, dan Ahli Lembaga Pengarah Synchrosound Sdn Bhd,” katanya.

Tambahnya, Mohd Nasir akan dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pengurusan Risiko dan kekal sebagai Pengerusi Sistem Televisyen Malaysia Berhad.

“Mohd Nasir mempunyai pengalaman lebih 30 tahun di dalam bidang kewangan, perakaunan dan pengurusan dan berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia adalah Fellow Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) United Kingdom dan Akauntan Bertauliah dengan Institut Akauntan Malaysia (MIA).

“Beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Akauntan Pelatih dengan Tenaga Nasional Bhd pada 1979 sebelum memegang pelbagai jawatan di dalam Bahagian Kewangan.

“Selain itu, Mohd Nasir juga berada di dalam Lembaga Pengarah CIMB Group Holdings Bhd, CIMB Bank Bhd, Mimos Bhd, SIRIM Bhd dan Prokhas Sdn Bhd,” katanya.

Bagi Raja Zaharaton pula, beliau menyertai Lembaga Pengarah MPB pada 13 Ogos 2015 dan dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif dan merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan.

Mohd Rashid yang dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Audit, Ahli Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan, dan Ahli Lembaga Pengarah Sistem Televisyen Malaysia Bhd.