Mohd Shafie bentang belanjawan lebihan RM4.16 bilion

Mohd Shafie bentang belanjawan  lebihan RM4.16 bilion
Mohd Shafie yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata anggaran kutipan hasil negeri Sabah pada tahun hadapan ialah RM4.27 bilion. - Foto Astro AWANI
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini membentangkan belanjawan lebihan negeri Sabah 2019 berjumlah RM4.16 bilion berbanding RM4.104 bilion pada tahun lalu.

Ketika membentangkan belanjawan pertama kerajaan baharu diterajui Parti Warisan Sabah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah itu, Mohd Shafie yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata anggaran kutipan hasil negeri Sabah pada tahun hadapan ialah RM4.27 bilion.

Mohd Shafie berkata belanjawan bertemakan 'Memacu Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat' berkenaan adalah bagi melaksanakan pelbagai agenda dan program pembangunan untuk kesejahteraan seluruh lapisan rakyat dengan menikmati manfaat-manfaat ekonomi termasuk pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam serta penyediaan peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan sekali gus mewujudkan "multiplier effect" kepada ekonomi Sabah.

"Ini bermakna Kerajaan telah merangka bajet berkedudukan lebihan atau "Surplus Budget" melibatkan jumlah sebanyak RM105.32 juta, yang mana ini penting dalam mengekalkan kestabilan kewangan negeri. Lebihan tersebut melibatkan kenaikan sebanyak RM40.43 juta atau bersamaan 62.31 peratus berbanding tahun 2018 dan merupakan jumlah lebihan paling tinggi sejak lima tahun yang lalu," katanya.

Mohd Shafie berkata demikian ketika membentangkan belanjawan setebal 67 muka surat di DUN Sabah di sini hari ini.
Menurut Mohd Shafie daripada jumlah keseluruhan belanjawan 2019 berkenaan, sebanyak RM742.14 juta disyorkan untuk emolumen, berbelanjaan berulang (RM1,371.94 juta) dan perbelanjaan khas (RM2,045.60 juta).

Katanya perbelanjaan untuk emolumen dalam Belanjawan Negeri Sabah 2019 menurun RM21.53 juta berbanding dengan anggaran RM763.67 juta pada tahun 2018 dan sebab utama penurunan berkenaan disebabkan pengurangan pembayaran gaji ekoran ramai kakitangan dan pegawai kerajaan Sabah telah dan akan bersara selain pengambilan pegawai dan kakitangan baharu melibatkan pembayaran gaji yang lebih rendah.

Perbelanjaan berulang pula, kata Mohd Shafie meningkat sebanyak RM71.09 juta atau 5.46 peratus berbanding anggaran belanjawan 2018 sebanyak RM1,300.85 juta dan peningkatan berkenaan adalah bagi menampung kenaikan kos operasi yang antaranya disebabkan kewujudan sebuah kementerian baharu sepenuhnya iaitu Kementerian Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah dan pewujudan daerah baharu iaitu Pejabat Daerah Kalabakan.

Menurut Mohd Shafie perbalanjaan khas bagi tahun 2019 turut meningkat sebanyak RM5.77 juta atau 0.28 peratus berbanding anggaran belanjawan 2018 iaitu RM2,039.83 juta.

"Peningkatan Perbelanjaan Khas tahun 2019 adalah untuk pembelian kenderaan dan perahu; pengurusan loji air di bawah Kontrak Outsource; dan pembelian air dan perbelanjaan berkaitan dengan penswastaan air; serta caruman kepada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan sebanyak RM800 juta.

"Sebanyak RM380 juta lagi diperuntukkan bagi menambah caruman ke dalam Kumpulan Wang Amanah (Sinking Fund) untuk membolehkan pembayaran balik bon yang akan matang pada hujung tahun 2019," katanya.

Menurut Mohd Shafie, perbelanjaan pembangunan negeri Sabah pada tahun hadapan disyorkan sebanyak RM934.68 juta dan daripada jumlah itu, peruntukan Kerajaan Sabah sebanyak RM695.39 juta dan peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM239.28 juta.

Peruntukan Persekutuan ini yang terdiri daripada Pemberian Pembayaran Balik berjumlah RM59.53 juta dan Pinjaman sebanyak RM179.75 juta.

Dari segi kutipan hasil dalam Belanjawan Sabah 2019 itu, Mohd Shafie berkata daripada jumlah anggaran kutipan hasil sebanyak RM4,265 juta pada tahun hadapan itu, sebanyak RM1,125.6 juta atau 26.4 peratus adalah Hasil Cukai; RM2,735.9 juta atau 64.1 peratus adalah Hasil Bukan Cukai; dan RM403.5 juta atau 9.5 peratus adalah Terimaan Bukan Hasil.

Katanya royalti petroleum dijangkakan kekal menjadi penyumbang tertinggi dengan sumbangannya merangkumi 37.5 peratus daripada jumlah keseluruhan anggaran hasil tahun 2019 dengan sasaran sebanyak RM1,600 juta.

Katanya Cukai Jualan Minyak Kelapa Sawit (CPO) yang merupakan peneraju kategori Hasil Cukai, kekal sebagai penyumbang kedua tertinggi bagi hasil Kerajaan Sabah.

Menurut Mohd Shafie, dengan keyakinan bahawa harga CPO boleh mencecah nilai RM2,400 per tan metrik dengan pengeluaran lebih daripada lima juta tan metrik dalam tahun 2019, maka Kerajaan menjangkakan kutipan hasil sebanyak RM900 juta daripada sumber ini.

-- BERNAMA