"Saya nak panjatkan kesyukuran ke atas Allah SWT."

Demikian kata-kata pertama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal apabila Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengekalkan status beliau sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah, hari ini.

Tambah Mohd Shafie, beliau komited untuk memberi tumpuan sepenuhnya dalam mentadbir dan membangun negeri Sabah dan berharap agar tidak ada perkara negatif lain yang boleh membantutkan pentabiran negeri.

"Apa yang penting kepada kita selaku pihak kerajaan adalah kita teruskan perjalanan kita. Kita akan terus membangunkan negeri ini dan saya berharap jangan ada lagi pihak-pihak tertentu yang mempunyai tanggapan berbagai yang boleh menggugat pentadbiran negeri.

"Hampir enam bulan kita mentadbir negeri Sabah dan dengan adanya gangguan-gangguan itu boleh membantutkan keyakinan pelabur dan ketetapan ini saya berharap semua pihak akan terus mempastikan agar Sabah dapat kita bangunkan dan majukan," katanya kepada media selepas ditemui di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Sementara itu, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan mempersoalkan keputusan mahkamah itu kerana menolak saman berkenaan.

Katanya, dalam prosiding kali ini sepatutnya keputusan diumumkan kerana pendengaran saman itu telah dibuat dan bukan menolak saman berkenaan.

Mengulas mengenai tindakan di pihak Gabungan Bersatu Sabah (GBS) mereka akan membincangkan perkara itu dan akan mengambil langkah selanjutnya.

"Saya dengar yang itu saman kena tolak jadi perseoalan saya di sini, ini sudah ada pendengaran sepatutnya ada keputusan, jadi kami akan bincangkan langkah seterusnya yang kami akan ambil, "katanya.