Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyelar tindakan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang menyalahgunakan imuniti di Dewan Rakyat dengan mengaitkan nama Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman berhubung kegagalan projek infrastruktur di Sabah.

Beliau berkata, tindakan Ahli Parlimen Semporna itu mengaitkan Musa yang mempunyai pertalian saudara tidak harus timbul memandangkan nama yang disebut itu merupakan kroni orang lain dan bukannya Musa.

"Tindakan beliau (Mohd. Shafie) menggunakan imuniti mengaitkan nama Musa adalah tidak wajar.

"Ramai tahu projek itu datang dari Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta projek-projek tersebut diketahui beliau tanpa perlu menggunakan imuniti Dewan Rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Transformasi Sosial, Komuniti dan Pembangunan Mapan 2017 di sini hari ini.

Semalam, di Dewan Rakyat, Mohd. Shafie mendakwa projek menaik taraf loji rawatan air Sungai Intan, Semporna bernilai RM48 juta yang sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberikan kepada ahli keluarga Musa.

Abdul Rahman menambah, sebelum ini, Musa telah beberapa bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai 'perangai' Mohd. Sahfie yang tidak memberitahu Kerajaan Negeri Sabah mengenai perancangan kementerian itu di Sabah.