Seratus hari pertama Datuk Seri Mohd Zuki Ali sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) menyaksikan beliau melalui beberapa episod di "luar norma kebiasaan" dan mencabar, namun melakar sejarah negara.

Semasa menerajui sektor perkhidmatan awam Malaysia sebagai KSN ke-15 bermula pada 1 Jan lepas, beliau melalui suasana kerja biasa dengan turut mengambil langkah menyusun semula prinsip dan sistem nilai dalam perkhidmatan awam yang berteraskan "Kepercayaan Untuk Berkhidmat" dengan ditunjangi lima prinsip utama iaitu Kebersamaan; Interaksi; Dinamik; Khidmat Bakti; dan Pembudayaan Integriti.

Namun keadaan berubah pada penghujung Januari apabila negara mula mencatatkan kes COVID-19 yang memerlukan beliau memastikan perancangan sebaik mungkin dibuat khususnya oleh sektor awam bagi membendung penularan virus itu.

Pada bulan berikutnya, beliau berdepan cabaran sebagai ketua perkhidmatan awam apabila berlaku perpecahan dalam kerajaan Pakatan Harapan yang mentadbir negara setelah Bersatu bertindak meninggalkan pakatan empat parti itu pada 24 Feb.

Ini disusuli pula dengan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada hari yang sama, yang menyebabkan terbubarnya barisan jemaah menteri.

Berikutan itu, Mohd Zuki mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah berkenan menerima peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan melantik beliau sebagai perdana menteri interim.

Yang di-Pertuan Agong turut membatalkan pelantikan semua anggota pentadbiran berkuat kuasa pada hari sama.

Buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia, negara dipimpin perdana menteri interim tanpa barisan Kabinet, yang menjadikan perkhidmatan awam sebagai jentera terpenting dalam memastikan pentadbiran negara berjalan lancar.

Keesokannya, Mohd Zuki mempengerusikan mesyuarat khas bersama kesemua ketua setiausaha kementerian untuk memastikan kelangsungan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Kepentingan fungsi dan peranan beliau sebagai KSN menyerlah semasa Yang di-Pertuan Agong berkenan merungkai kemelut kepimpinan negara.

Mohd Zuki turut mengiringi Seri Paduka semasa sesi temu bual peribadi dengan kesemua 222 Ahli Parlimen selama dua hari berturut-turut.

Krisis kepimpinan negara yang berlarutan selama seminggu berakhir pada 29 Feb apabila Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan yang mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara pada 1 Mac.

Pada 9 Mac, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mengumumkan barisan Kabinet beliau, dan buat pertama kalinya tidak menamakan timbalan perdana menteri, sebaliknya mengumumkan pelantikan empat menteri kanan yang akan menerajui kluster masing-masing.

Perdana Menteri turut meminta Mohd Zuki memperkemas fungsi dan peranan kluster serta susun atur setiap kementerian untuk memastikan tiada sebarang pertindihan, selain menerajui proses pembentukan kementerian baharu.

Sebagai KSN, Mohd Zuki juga memantau pandemik COVID-19 yang menyaksikan peningkatan kes yang membimbangkan di Malaysia pada Mac.

Pada 16 Mac, Muhyiddin mengisytiharkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19 melalui usaha memutuskan rantaian jangkitan virus itu.

Berikutan pelaksanaan PKP, yang pertama kali dibuat dalam sejarah negara, ekosistem negara melalui perubahan apabila premis kerajaan dan swasta terpaksa ditutup kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara.

Dalam memerangi virus itu, Mohd Zuki membantu barisan Kabinet untuk mencari titik keseimbangan bagi memastikan keselamatan rakyat dan kelangsungan ekonomi demi kestabilan negara secara holistik.

Beliau juga menerajui pemantauan pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) berdasarkan sasaran yang ditetapkan oleh Perdana Menteri.

Mohd Zuki, 58, yang menggantikan Tan Sri Dr Ismail Bakar, tidak pernah mengambil cuti rehat sepanjang 100 hari pertamanya sebagai KSN.

"Sejak menjawat jawatan sebagai KSN, beliau memberikan komitmen sepenuhnya terhadap tugas itu tanpa mengira hari dan waktu," kata seorang pegawai di Pejabat Ketua Setiausaha Negara.

Mohd Zuki, yang mempunyai pengalaman selama 28 tahun dalam perkhidmatan awam, sentiasa mengingatkan penjawat awam agar berpegang kepada konsep keneutralan dan profesionalisme serta menghormati prinsip pembahagian kuasa agar kedaulatan undang-undang dapat dipertahan dalam menjunjung Perlembagaan Persekutuan.

Mohd Zuki yang berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan dari Nanyang University, Singapura, mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan awam dan telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 28 tahun.

Sebelum menyandang jawatan itu, Mohd Zuki ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan. Beliau pernah berkhidmat di Kementerian Kewangan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Beliau juga pernah bertugas di Istana Negara, Jabatan Perdana Menteri dan Setiausaha Persekutuan Sarawak

-- BERNAMA