Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon pertimbangan kerajaan dalam memberikan bantuan kecemasan sebanyak RM1,500 kepada rakyat yang terjejas punca pendapatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung.

Presidennya, Adnan Mat berkata, golongan yang terdiri daripada peniaga dan penjaja kecil sudah pasti tidak dapat menjalankan perniagaan mereka sepanjang tempoh PKP tetapi tetap perlu meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Bantuan ini sedikit sebanyak membantu golongan ini mempunyai modal tambahan untuk memulakan semula perniagaan selepas tempoh PKP berakhir.

“Harus diingatkan golongan ini tidak mempunyai KWSP untuk dikeluarkan seperti mana rakyat yang bekerja dan mempunyai caruman KWSP,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian mengulas inisiatif kerajaan untuk membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan jumlah maksimum RM500 sebulan selama 12 bulan, bagi meringankan beban kos sara hidup akibat impak wabak COVID-19 pada Isnin.

BACA: COVID-19: Pencarum KWSP dibenar keluar RM500 sebulan bermula 1 April

Dalam pada itu, Cuepacs menyokong penuh inisiatif baharu kerajaan untuk menyalurkan peruntukan RM100 juta khusus untuk pelantikan 2,000 kakitangan baharu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) secara kontrak.



“Cuepacs juga melahirkan penghargaan yang tinggi kepada kerajaan kerana telah bersetuju menambah seramai 2,000 lagi kakitangan Perubatan & Kesihatan di KKM,” katanya.

BACA: COVID-19: RM600juta beli peralatan perubatan, lantik kakitangan KKM baharu

Adnan, bagaimanapun, berkata pegawai barisan hadapan lapangan seperti pegawai kesihatan persekitaran dan penolongnya perlu juga ditambah dan diberi perhatian.

“Dengan penambahan ini, sudah tentu akan dapat membantu meringankan beban dan tekanan kerja yang tinggi di kalangan petugas barisan hadapan dalam menangani COVID-19,” jelasnya.

Katanya, Cuepacs mencadangkan lantikan-lantikan kontrak ini kelak boleh diserapkan ke jawatan tetap sebagaimana kekosongan sebanyak 10,675 dalam kementerian itu ketika ini.

Mengulas aduan yang diterima mengenai kelengkapan pakaian pelindung (PPE) yang tidak mencukupi, Adnan berkata kelengkapan keselamatan PPE diharap dapat dibekalkan dengan segera serta mencukupi untuk petugas.

“Cuepacs banyak menerima aduan pekerja mengenai kelengkapan PPE yang tidak mencukupi.

“Malah telah mengunakan baju hujan dan kaedah ubah suai (modified) daripada bahan-bahan yang ada untuk dijadikan PPE sementara. Ini amat menakutkan petugas dan rakyat yang berurusan dengan hospital,” katanya.