Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang membincangkan secara serius kepentingan mewujudkan segera sebuah pusat penyelidikan pembangunan vaksin bagi membolehkan vaksin dikeluarkan dalam negara.

Timbalan Menterinya Ahmad Amzad Hashim berkata pembangunan pusat tersebut dilihat sangat signifikan bagi menghadapi cabaran penularan sesuatu penyakit berjangkit atau wabak pada masa akan datang selain wabak COVID-19 yang melanda kini.

"Kita pernah ada makmal kajian biotek (bioteknologi) yang maju pada satu ketika dahulu, tetapi barangkali penumpuan tidak diberikan selama ini kerana tidak menjangkakan akan berdepan dengan situasi ini (COVID-19). Dari segi kepakaran pula kita mempunyai ramai pakar dalam bidang ini (biotek) di Malaysia.

"Cuma kita tidak boleh hendak katakan ia (vaksin) akan dikeluarkan dalam masa terdekat kerana perlu difahami, penghasilan satu-satu vaksin melibatkan proses yang panjang sehingga dua tahun, dan peruntukan mungkin melibatkan ratusan juta," katanya di sini pada Ahad.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi web TanyaDoktor.com di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), beliau berkata apabila kerajaan melihat keadaan terkini dengan wabak COVID-19 yang melanda, keperluan ini menjadi signifikan untuk cabaran akan datang.

Sementara itu, Ahmad Amzad berkata MOSTI telah menyerahkan geran penyelidikan sebanyak RM50,000 kepada UniSZA bagi membangunkan sebuah sistem penilaian risiko COVID-19 secara dalam talian yang dinamakan 'COVID-19 Health Risk Assessment And Self Evaluation System' (CHaSe).

Katanya sistem tersebut menggunakan teknologi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) bagi mengesan dan mengurus risiko jangkitan COVID-19, dan buat permulaan ia akan dilaksanakan dalam kalangan kakitangan dan pelajar UniSZA.

Sementara itu, aplikasi web TanyaDoktor.com yang dilancarkan pada Ahad membolehkan rakyat Terengganu mendapatkan rundingan kesihatan dan pemakanan daripada pakar perubatan dan pakar pemakanan UniSZA secara percuma dalam talian, tanpa perlu hadir ke klinik dan hospital.

-- BERNAMA