Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengerah pakar forensik siber dari CyberSecurity Malaysia untuk membantu siasatan kes serangan seksual ke atas kanak-kanak susulan kes pedofilia warga Britain, Richard Huckle.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Madius Tangau, CyberSecurity Malaysia bersedia untuk membantu pihak berkuasa tempatan dan luar negara dalam melaksanakan penyiasatan berhubung kes berkenaan.

"Kami memandang serius kes tersebut dan akan menyediakan kepakaran teknikal berkaitan keselamatan siber terutama dalam bidang forensik siber yang disediakan oleh CyberSecurity Malaysia bagi membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung kes ini serta kes-kes yang seumpamanya di masa hadapan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

BACA: Richard Huckle berpeluang bebas selepas 23 tahun

BACA: Britain akan kerjasama dengan Malaysia lindungi kanak-kanak

BACA: Ambil pengajaran daripada kes pedofil Richard Huckle - Najib

Richard Huckle dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas didapati bersalah terhadap 71 pertuduhan berkaitan penderaan seksual terhadap kanak-kanak di Malaysia.
Tambah Madius, CyberSecurity Malaysia mempunyai kepakaran dalam bidang forensik digital, di mana kemudahan makmal forensik digital dilengkapi dengan peralatan dan perisian terkini.

"Laporan dan testimonial dari Juruanalisa Forensik Digital CyberSecurity Malaysia diterima pakai di dalam perbicaraan di semua Mahkamah Undang-undang di Malaysia," ujarnya.

Pada masa yang sama, MOSTI terus memperhebat usaha untuk memperkasakan pemahaman orang ramai mengenai kepentingan keselamatan siber serta penggunaan internet dan komputer secara positif serta beretika.

"Ini termasuklah memperhebatkan lagi program-program keselamatan siber yang sedia ada iaitu Program CyberSAFE in Schools terutama dalam kalangan murid-murid sekolah di seluruh negara," katanya Madius.

Isnin lalu, pesalah pedofilia, Richard Huckle dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas didapati bersalah terhadap 71 pertuduhan berkaitan penderaan seksual terhadap kanak-kanak di Malaysia.

Huckle, 30, mengaku mendera kesemua mangsa yang berusia antara enam bulan hingga 12 tahun serta memuatnaik rakaman video dan gambar ke laman sesawang tertentu.